Menurut sebuah cerita lama, seorang lelaki, Nicholas (lahir pada tahun 270 Masihi) mendengar tentang seorang ayah yang sangat miskin sehingga dia tidak dapat memberi makan kepada 3 orang anak perempuannya, apatah lagi untuk mempersiapkan perkahwinan mereka untuk masa hadapan. Dengan keinginan untuk membantu ayah tersebut, tetapi berharap agar bantuannya kekal sebagai rahsia, Nicholas membaling sebuah kantung yang berisi emas melalui sebuah tingkap yang terbuka, yang terjatuh ke atas sarung kaki atau kasut yang sedang dikeringkan di atas perdiangan. Orang itu dikenali sebagai St. Nicholas, yang kemudiannya menjadi inspirasi bagi Santa Klaus.

Apabila saya mendengar cerita tentang sebuah hadiah yang datang dari atas, saya berfikir tentang Bapa. Oleh sebab kasih dan belas kasihan-Nya, Dia telah menghantar hadiah yang terbesar ke dunia, iaitu Anak-Nya, melalui kelahiran yang penuh mukjizat. Menurut Injil Matius, Yesus menggenapi nubuat Perjanjian Lama tentang seorang anak dara akan mengandung dan melahirkan seorang anak lelaki yang akan dipanggil sebagai Imanuel, yang bermaksud “Allah menyertai kita” (1:23).

Indahnya hadiah Nicholas, tetapi hadiah Yesus lagi hebat. Dia meninggalkan syurga untuk menjadi seorang manusia, mati dan bangkit semula, dan Dia adalah Tuhan yang hidup dengan kita. Dia memberikan kita ketenangan apabila kita berasa sakit hati dan berduka; Dia menguatkan kita ketika kita berasa lemah; Dia menunjukkan kepada kita kebenaran apabila kita diperdaya.