Menurut sebuah cerita lama, seorang lelaki, Nicholas (lahir pada tahun 270 Masihi) mendengar tentang seorang ayah yang sangat miskin sehingga dia tidak dapat memberi makan kepada 3 orang anak perempuannya, apatah lagi untuk mempersiapkan perkahwinan mereka untuk masa hadapan. Dengan keinginan untuk membantu ayah tersebut, tetapi berharap agar bantuannya kekal sebagai rahsia, Nicholas membaling sebuah kantung yang berisi emas melalui sebuah tingkap yang terbuka, yang terjatuh ke atas sarung kaki atau kasut yang sedang dikeringkan di atas perdiangan. Orang itu dikenali sebagai St. Nicholas, yang kemudiannya menjadi inspirasi bagi Santa Klaus.
Apabila saya mendengar cerita tentang sebuah hadiah yang datang dari atas, saya berfikir tentang Bapa. Oleh sebab kasih dan belas kasihan-Nya, Dia telah menghantar hadiah yang terbesar ke dunia, iaitu Anak-Nya, melalui kelahiran yang penuh mukjizat. Menurut Injil Matius, Yesus menggenapi nubuat Perjanjian Lama tentang seorang anak dara akan mengandung dan melahirkan seorang anak lelaki yang akan dipanggil sebagai Imanuel, yang bermaksud “Allah menyertai kita” (1:23).
Indahnya hadiah Nicholas, tetapi hadiah Yesus lagi hebat. Dia meninggalkan syurga untuk menjadi seorang manusia, mati dan bangkit semula, dan Dia adalah Tuhan yang hidup dengan kita. Dia memberikan kita ketenangan apabila kita berasa sakit hati dan berduka; Dia menguatkan kita ketika kita berasa lemah; Dia menunjukkan kepada kita kebenaran apabila kita diperdaya.
ILHAM
Teks hari ini memperkenalkan Yusuf, seorang tukang kayu di Nasaret dan bapa tiri Yesus. Yusuf hanya disebut secara ringkas dalam Alkitab tetapi dia bukan orang yang menonjol. Namun, hidupnya membuktikan pengabdiannya kepada Tuhan. Dia “taat kepada hukum agama” (Matius 1:19), tetapi dia menunjukkan belas kasihan sejati kepada Maria. Tuhan yang menjadi sumber kekuatan kepada Yusuf supaya dia dapat mentaati Tuhan sepenuhnya dengan mempercayai pesanan daripada malaikat (ayat 22-25).Untuk ketahui lebih lanjut mengenai Yusuf, baca Maria dan Yusuf; Merenung Krismas yang Menakjubkan di https://pedomanharian.org/ds/maria-yusuf/.