Sebelum hari Krismas, memandangkan anak-anaknya sukar untuk bersyukur, seorang ibu menginginkan anak-anaknya mempelajari kesyukuran. Maka dia membubuh reben merah pada suis lampu, rak makanan dan pintu peti sejuk, mesin basuh dan pengering, serta kepala paip di seluruh rumahnya. Di tepi setiap reben merah dilekatkan nota tulisan tangan: “Kita mudah mengabaikan hadiah-hadiah yang dikurniakan Tuhan. Jadi ibu meletakkan reben merah pada hadiah-hadiah itu. Dia sangat baik terhadap keluarga kita. Janganlah kita lupakan siapa pemberi hadiah-hadiah ini.”
Dalam Ulangan 6, kita melihat bahawa bangsa Israel akan menakluki tanah yang dijanjikan Tuhan. Jadi mereka akan berpindah ke kota-kota besar dan makmur yang tidak dibina mereka (ayat 10), mendiami rumah-rumah yang dipenuhi dengan peralatan baik yang tidak disediakan mereka, dan perigi-perigi yang tidak digali mereka, serta hasil ladang anggur dan kebun zaitun yang tidak ditanam mereka (ayat 11). Semua berkat ini membantu kita mengingati satu-satunya pemberi—“TUHAN, Allah kamu” (ayat 10). Sementara Tuhan dengan penuh kasih menyediakan benda-benda ini dan banyak lagi, Musa mahu mengingatkan umat Israel berhati-hati supaya “tidak lupa akan TUHAN” (ayat 12).
Pada musim-musim tertentu, kita cenderung melupakan Tuhan. Akan tetapi janganlah kita melupakan kebaikan Tuhan, pemberi semua berkat kita.
Senaraikan lima berkat dalam hidup anda. Mengapakah anda bersyukur untuk berkat-berkat tersebut? Bagaimanakah anda bersyukur kepada Tuhan pada hari ini?
Bapa yang penyayang, Engkaulah pemberi setiap berkat dalam hidup kami. Dalam keangkuhan, kami selalu menganggap kesemua berkat ini hasil usaha sendiri, tetapi ini tidak benar. Terima kasih untuk kesemua berkat yang Engkau berikan.
Yahudi Ortodoks menurut perintah daripada Ulangan 6:8 secara harfiah. Seorang Yahudi salih akan mengikat kotak kulit yang dikenal sebagai
tefillin (Yunani, pilekteri) pada lengan atau tangan kiri dan dahinya.
Tefillin itu mengandungi bahagian Alkitab yang dikenal sebagai Shema (Ulangan 6:4-9). Dalam Markus 12:29-31, Yesus memetik ayat daripada Shema dan Imamat 19:18 apabila Dia berkata “tiada lagi perintah lain yang lebih utama” daripada “kasihilah sesama kamu sebagaimana kamu mengasihi diri kamu sendiri.”
Tefillin biasanya meliputi firman Tuhan daripada Keluaran 13:1-16 dan Ulangan 11:13-21. Bahagian Keluaran merujuk kepada Paskah pertama apabila Tuhan berkata “Perayaan ini akan menjadi satu peringatan, seperti tanda yang diikat pada tangan atau dahi kamu, untuk mengingatkan kamu bahawa kamu mesti terus-menerus mengucapkan dan mengkaji Taurat TUHAN” (Keluaran 13:9). Suatu masa akan tiba apabila mereka yang menolak Tuhan mesti mempunyai satu tanda sama ada pada tangan atau dahi mereka (Wahyu 13:16; 14:9). Iblis suka memalsukan cara-cara Tuhan.
Tim Gustafson