Pada tahun 2009, negeri Los Angeles berhenti mengenakan bayaran pemenjaraan ke atas keluarga banduan. Meskipun tiada yuran baharu dikenakan, keluarga yang masih mempunyai yuran tertunggak sebelum perubahan tersebut dalam polisi masih dikehendaki untuk menyelesaikan hutang mereka. Kemudian pada tahun 2018, negeri itu membatalkan kesemua baki hutang.
Bagi sesetengah keluarga, hal menghapuskan hutang mengurangkan beban mereka yang ada masalah kewangan. Harta mereka tidak perlu dicagarkan atau gaji tidak perlu dipotong, maka mereka tidak perlu bimbang akan keperluan hidup. Kesusahan seperti inilah yang dimaksudkan Tuhan sebagai hutang yang harus dihapuskan pada setiap tahun ketujuh (Ulangan 15:1). Dia tidak mahu orang Israel dibebani dengan hutang selama-lamanya.
Oleh sebab orang Israel dilarang untuk mengenakan caj faedah ke atas pinjaman kepada sesama orang Israel (Keluaran 22:25), maka motif mereka untuk memberikan pinjaman kepada orang di sekeliling mereka bukanlah untuk mendapatkan keuntungan, melainkan untuk menolong orang yang sedang mengalami kesusahan, yang mungkin disebabkan oleh tuaian yang tidak baik. Hutang haruslah dihapuskan tanpa berat hati pada setiap tujuh tahun. Hasilnya, tiada orang miskin di kalangan orang Israel (Ulangan 15:4).
Pada hari ini, orang yang percaya kepada Yesus tidak lagi diikat oleh hukum ini. Tetapi Tuhan kadangkala memerintahkan kita untuk menghapuskan hutang supaya orang yang sedang bergelut dalam masalah kewangan dapat juga menjadi orang yang membuat pemberian. Apabila kita menunjukkan belas kasihan dan kemurahan hati kepada orang lain, kita menonjolkan keperibadian Tuhan dan memberikan harapan kepada orang lain.
ILHAM
Hukum Musa membekalkan garis panduan kehidupan kepada Israel. Pertama, terdapat elemen elemen penyembahan Tuhan, termasuk reka bentuk Khemah Suci dan perlengkapannya; prosedur untuk masa kenduri khas; dan isu-isu kesucian istiadat. Terdapat juga komponen masyarakat, mengenai cara umat Israel harus berinteraksi dengan satu sama lain sebagai keluarga dan sebagai umat perjanjian dalam satu Tuhan. Akhirnya, hukum itu mempunyai satu komponen kebangsaan yang menjelaskan bagaimana Israel harus berhubung dengan bangsa-bangsa di sekeliling apabila mereka tiba di tanah yang dijanjikan. Setelah menggabungkan semua komponen ini, hukum Tuhan merupakan satu set arahan tentang cara menjalani kehidupan yang menyeluruh bagi umat Tuhan.Untuk maklumat lanjut, sila langgani buku Mengenal Tuhan dan Tinjauan Perjanjian Lama.