Ketika suami saya, Daniel, disahkan menghidapi penyakit kanser, saya tidak dapat menemukan cara yang “betul” untuk meminta Tuhan menyembuhkannya. Dalam pandangan saya yang terbatas, orang lain di dunia ini mempunyai masalah-masalah yang serius seperti—peperangan, kebuluran, kemiskinan, dan bencana alam. Kemudian pada suatu hari, semasa doa pagi kami, saya mendengar suami saya memohon dengan rendah hati, “Tuhan, sembuhkanlah penyakitku.”
Doanya amat ringkas, namun ini adalah rayuan yang tulus ikhlas. Doanya juga memberi peringatan kepada saya agar berhenti merumitkan setiap permintaan doa, kerana Tuhan pasti mendengar tangisan sepenuh hati kita ketika kita memohon pertolongan-Nya. Seperti doa Daud yang ringkas, “TUHAN, datanglah dan selamatkanlah aku, selamatkanlah aku daripada maut demi kasih-Mu” (Mazmur 6:5).
Itulah yang diisytiharkan Daud ketika dia berada dalam masa kekeliruan dan keputusasaan rohani. Situasinya yang sebenar tidak dijelaskan dalam mazmur ini. Bagaimanapun, rayuannya yang ikhlas menunjukkan keinginannya yang mendalam akan pertolongan dan pemulihan Tuhan. “Aku tidak bermaya kerana dilanda kesedihan,” tulisnya dalam ayat 7.
Akan tetapi, Daud tidak membiarkan keterbatasan dirinya dan dosanya menghentikan dia datang kepada Tuhan bagi keperluannya. Oleh itu, malah sebelum Tuhan menjawab, Daud mampu bersukacita, “TUHAN mendengar tangisanku; Dia mendengar permohonanku, dan mengabulkan doaku” (ayat 9-10).
Di sebalik kekeliruan dan ketidaktentuan yang kita hadapi, Tuhan mendengar dan menerima segala rayuan tulus ikhlas anak-anak-Nya. Dia bersedia untuk mendengar, terutamanya apabila kita amat memerlukan-Nya.