Sebagai seorang profesor, saya selalu diminta oleh pelajar-pelajar untuk menulis surat perakuan untuk mereka—bagi jawatan kepemimpinan, program belajar di luar negara, sekolah siswazah, bahkan permohonan pekerjaan. Dalam setiap surat, saya berpeluang untuk memuji sikap serta kelayakan setiap pelajar.
Apabila orang Kristian merantau pada zaman dahulu, mereka selalunya membawa “surat perakuan” yang sama berserta dengan mereka. Surat itu disediakan oleh gereja mereka. Surat sedemikian adalah untuk memastikan bahawa kedatangan mereka akan mendapat sambutan yang baik.
Rasul Paulus tidak memerlukan surat perakuan apabila dia berbicara kepada jemaah di Korintus—mereka mengenalinya. Dalam suratnya yang kedua, Paulus menulis bahawa dia memberitakan Injil dengan tulus ikhlas, bukan untuk keuntungan peribadi (2 Korintus 2:17). Dia juga tidak mahu para pembaca suratnya beranggapan bahawa dengan mempertahankan motifnya untuk berkhutbah, dia adalah cuba untuk menulis surat perakuan bagi dirinya sendiri.
Dia tidak memerlukan surat sedemikian. Menurutnya, jemaah di Korintus merupakan surat perakuan bagi dirinya. Pekerjaan Kristus yang jelas kelihatan dalam kehidupan mereka adalah seumpama surat yang “tidak ditulis dengan dakwat, tetapi dengan Roh Allah yang hidup” (3:3). Hidup mereka memberikan kesaksian kepada Injil sebenar yang diberitakan oleh Paulus kepada mereka—hidup mereka adalah surat-surat rujukan yang boleh “diketahui serta dibaca oleh semua orang” (3:2). Ketika kita mengikut Yesus, perkara ini boleh menjadi perkara yang benar bagi kita juga—hidup kita menceritakan kebaikan Injil.