Sehari sebelum Krismas pada tahun 1944, seorang lelaki yang dikenali sebagai “Brinker Tua” yang terlantar uzur di sebuah hospital penjara, sementara menunggu kebaktian Krismas yang dipimpin oleh rakan-rakan banduannya. “Bilakah muzik akan bermula?” dia bertanya kepada William McDougall, yang menjadi banduan dengannya di Penjara Muntok, Sumatera. “Tidak lama lagi,” jawab McDougall. “Bagus,” jawab orang yang nazak itu. “Jadi saya dapat membandingkan nyanyian mereka dengan para malaikat.”
Walaupun beberapa dekad sebelumnya, Brinker pernah meninggalkan imannya, namun pada waktu hujung hayatnya, dia mengakui dosanya dan menemukan kedamaian dalam Tuhan. Dia memberikan salam kepada orang lain dengan senyuman, dan bukannya muka yang masam. Itu merupakan “satu perubahan yang indah,” kata McDougall.
Brinker meninggal dengan aman selepas kumpulan koir yang terdiri daripada 11 orang banduan menyanyikan lagu yang dimintanya, iaitu “Malam Kudus.” Ketika mengetahui bahawa Brinker kembali kepada pangkuan Yesus dan bersatu dengan Tuhan di syurga, McDougall mengulas, “Mungkin Kematian telah melawat Brinker tua pada hari Krismas ini.”
Sikap Brinker berhadapan dengan kematiannya mengingatkan saya tentang Simeon, seorang yang salih. Roh Kudus telah memberitahu bahawa “dia tidak akan meninggal sebelum melihat Penyelamat yang dijanjikan oleh Tuhan” (Lukas 2:26). Ketika Simeon melihat Yesus di Rumah Tuhan, dia berseru, “Biarlah hamba-Mu meninggal dengan tenteram. Dengan mataku sendiri aku sudah melihat Penyelamat yang datang daripada-Mu” (ayat 29-30).
Seperti Brinker, hadiah Krismas terbesar yang boleh kita dapatkan atau kongsi adalah percaya kepada penyelamatan Yesus.
ILHAM
Simeon (Yunani, Simon) merupakan nama yang biasa di kalangan orang Yahudi dan bermakna “dengar” atau “dia telah mendengar.” Sebelas orang lelaki dengan nama ini telah disebut dalam Perjanjian Baru (Matius 4:18; 10:4; 13:55; 26:6; 27:32; Lukas 2:25; Lukas 7:40; Yohanes 6:71; Kisah Rasul-Rasul 8:9; 9:43; 13:1).Kita hanya maklum akan perkara tentang Simeon melalui Lukas 2 dan petikan ini. Simeon, Zakharia dan isterinya Elisabet (Ibu bapa Yohanes Pembaptis; Lukas 1:5-7), dan Hana (seorang nabi wanita yang lanjut usianya; 2:36) merupakan salah satu orang salih Yahudi yang “menantikan masanya Allah menyelamatkan Israel” (ayat 25). Lukas berkata bahawa “Roh Allah menyertai [Simeon]” (ayat 25), sebuah gambaran yang digunakan oleh nabi-nabi Perjanjian Lama yang menyampaikan perintah untuk Tuhan (Bilangan 11:25; 1 Samuel 10:6, 10; 19:20,23). Oleh sebab Hana ialah seorang nabi wanita dan berada di Rumah Tuhan “tepat pada waktu itu” (Lukas 2:36-38), cendekiawan-cendekiawan percaya bahawa Simeon juga adalah seorang nabi.