Dalam buku The Call of Service (Panggilan untuk Melayani), penulisnya, Robert Coles, mengkaji sebab-sebab kita untuk melayani. Dia menceritakan kisah yang menyentuh hati tentang pelayanan seorang wanita tua kepada orang lain. Wanita tua itu seorang pemandu bas. Dia memperlihatkan kepedulian yang besar terhadap anak-anak yang dihantarnya ke sekolah setiap hari—menanyakan mereka soalan-soalan kuiz tentang kerja rumah dan bergembira atas kejayaan mereka. “Saya mahu melihat anak-anak ini berjaya dalam hidup,” katanya. Tetapi ada juga sebab yang lain.

Semasa wanita tua itu masih seorang remaja, dia terpengaruh oleh kata-kata seorang mak cik, “kita harus melakukan sesuatu yang menarik perhatian Tuhan. Jika tidak, kita akan tersesat dalam ombak dosa !” Oleh sebab takut untuk dibuang ke neraka selepas “penghakiman, wanita tua ini telah menggunakan beberapa cara untuk mendapatkan “perhatian Tuhan”—pergi ke gereja supaya “Tuhan akan melihat kesetiaan dan kerajinan saya” dalam melayani orang lain supaya Tuhan akan “mendengar orang lain menceritakan apa yang saya pernah lakukan.”

Saya berasa sedih sewaktu membaca kata-katanya. Mengapakah wanita tua ini tidak pernah mengetahui bahawa dia sudah mendapat perhatian daripada Tuhan? (Matius 10:30). Kenapa dia tidak pernah mendengar bahawa Yesus telah mengorbankan Diri untuk kita, menawarkan pembebasan daripada penghakiman selamanya (Roma 8:1)? Kenapa dia tidak tahu bahawa penyelamatan tidak dapat dibeli oleh perbuatan baik tetapi merupakan satu pemberian kepada sesiapa sahaja yang percaya? (Efesus 2:8-9).

Hidup, kematian, dan kebangkitan Yesus mengurniakan masa depan kita dengan Tuhan serta membebaskan kita untuk melayani orang lain dengan sukacita.