Sebuah gereja kecil di California Selatan berpeluang untuk menyatakan kasih Tuhan melalui cara yang praktikal. Orang Kristian berkumpul di sebuah kedai dobi layan diri untuk melayani komuniti mereka dengan cara membasuh pakaian orang yang bermasalah kewangan. Mereka membersihkan dan melipat pakaian bersama-sama, dan kadangkala menyediakan makanan atau bungkusan barangan runcit kepada orang yang kekurangan.
Melalui pelayanan ini, seorang sukarelawan menemukan ganjaran yang hebat dalam membina “hubungan yang sebenarnya dengan orang … mendengarkan kisah mereka.” Disebabkan oleh hubungan mereka dengan Yesus, para sukarelawan ini mahu menyatakan iman mereka melalui kata-kata dan perbuatan yang penuh kasih. Ini dapat membantu mereka membina hubungan yang sejati dengan orang lain.
Rasul Yakobus mengesahkan bahawa setiap pelayanan orang percaya yang disertakan kasih adalah hasil daripada iman yang sejati. Dia mengatakan bahawa “jika iman tidak dinyatakan dengan perbuatan, iman itu sia-sia” (Yakobus 2:14-17). Dengan mengisytiharkan apa yang kita percaya, ini menjadikan kita anak-anak Tuhan. Akan tetapi hanya apabila kita melayani Dia melalui melayani orang lain, itulah yang akan menjadikan kita orang percaya yang beriman dan mengikut Yesus (ayat 24). Iman dan pelayanan saling bergantung seumpama tubuh dan roh (ayat 26), satu gambaran yang indah akan kuasa Kristus ketika Dia bekerja dalam dan melalui kita.
Selepas kita sendiri percaya bahawa pengorbanan Tuhan pada kayu salib membersihkan kita dengan kasih yang sempurna, kita boleh memberi respons dengan iman sejati yang melimpah melalui cara kita melayani orang lain.