Disebabkan oleh desakan anak-anak saya untuk membuktikan bahawa saya sudah menggunakan masa bertahun-tahun untuk menguasai kemahiran asas piano, saya pun duduk dan mula memainkan tangga nada C major. Oleh sebab amat jarang bermain piano dalam hampir dua dekad ini, saya terkejut kerana saya masih mengingatinya! Dengan berani, saya terus memainkan tujuh tangga nada yang berlainan berdasarkan memori, satu demi satu. Saya amat terkejut! Latihan selama bertahun-tahun itu telah menanamkan not-not dan teknik-teknik yang begitu dalam pada “memori” jari saya sehingga dengan serta-merta saya mengetahui apa yang harus dilakukan.

Ada beberapa perkara yang tidak dapat dilupakan. Akan tetapi kasih Tuhan terhadap anak-anak-Nya jauh lebih dalam tertanam berbanding mana-mana memori kita yang beransur hilang—pada dasarnya, Tuhan tidak dapat melupakannya. Inilah yang harus didengar oleh orang Israel ketika pembuangan menyebabkan mereka berasa ditinggalkan oleh Dia (Yesaya 49:14). Respons-Nya melalui Yesaya adalah jelas: “Aku tidak akan melupakan kamu” (ayat 15). Janji Tuhan untuk mempedulikan umat-Nya adalah lebih nyata daripada kasih seorang ibu terhadap anaknya.

Untuk meyakinkan mereka akan kasih-Nya yang tidak berubah, Dia memberi mereka satu gambaran komitmen-Nya: “Aku telah menuliskan nama kamu pada tapak tangan-Ku” (ayat 16). Ini adalah sebuah gambaran yang indah akan pemerhatian Tuhan yang tetap terhadap anak-anak-Nya; nama dan wajah mereka selalu di hadapan-Nya.

Sehingga hari ini, kita boleh dengan mudah berasa diabaikan dan dilupakan. Betapa tenangnya apabila mengetahui bahawa nama kita “terukir” pada tapak tangan Tuhan—selalu diingati, dipedulikan, dan dikasihi oleh Bapa kita.