Seluruh penduduk dunia berbelanja sekitar $98.2 bilion untuk membeli coklat pada tahun 2016. Ini satu angka yang besar tetapi pada masa yang sama bukanlah sesuatu yang memeranjatkan. Coklat memang sedap dan kita suka menikmatinya. Seluruh dunia bergembira apabila mendapati bahawa makanan manis ini juga mempunyai manfaat kesihatan. Coklat mengandungi unsur flavonoid yang menjaga tubuh daripada penuaan dan penyakit jantung. Tidak pernah ada preskripsi kesihatan diterima dan diperhatikan dengan begitu baik seperti coklat (tentunya jangan pula makan melampau!).

Salomo berkata masih terdapat satu “manisan” yang harus kita makan. Manisan yang dimaksudkan adalah hikmat. Dia menasihati anaknya makan madu ”kerana madu itu baik” (Amsal 24:13) dan membandingkan kemanisannya dengan hikmat. Orang yang menikmati hikmat Tuhan dalam firman Tuhan mendapati bahawa firman Tuhan bukan sahaja manis kepada jiwa, tetapi juga bermanfaat untuk mengajar dan melatih serta melengkapi kita “untuk melakukan segala macam pekerjaan yang baik” yang kita perlu laksanakan dalam hidup (2 Timotius 3:16-17).

Hikmat memberi kita kuasa untuk mengambil pilihan-pilihan bijak dan memahami situasi di sekeliling kita. Alangkah besarnya manfaat sekiranya kita melaburkan masa dalam hikmat dan berkongsi dengan orang yang kita kasihi sebagaimana yang mahu dilakukan Salomo untuk anaknya. Kita dapat mengalami kebaikan ketika menikmati hikmat Tuhan dalam Alkitab. Firman Tuhan merupakan satu manisan yang kita dapat nikmati tanpa batas malah kita sangat digalakkan untuk terus menikmatinya! Tuhan, terima kasih untuk firman-Mu yang manis.