“Beberapa tahun yang lalu, saya selalu tergerak hati berdoa untuk anda dan saya tertanya-tanya mengapa”.

Mesej teks itu dikirimkan seorang kawan bersertakan gambar dan nota yang disimpan dalam Alkitabnya. “Berdoa untuk James. Lindungi minda, fikiran, kata-katanya.” Di tepi nama saya, dicatatkannya tiga tahun yang berasingan yang dia berdoa untuk saya.

Saya melihat tahun-tahun itu dan menarik nafas. Saya membalas teksnya dan bertanya bila dia mula berdoa untuk saya. Dia menjawab, “Sekitar bulan Julai”.

Bulan Julai merupakan bulan yang saya sedang bersedia meninggalkan rumah untuk melanjutkan pengajian di luar negara. Saya akan berhadapan dengan budaya dan bahasa yang asing bagi saya dan iman saya akan lebih tercabar berbanding sebelumnya. Apabila melihat nota itu, saya menyedari diri saya telah menerima doa orang lain yang sangat berharga untuk saya.

Kebaikan sahabat itu mengingatkan saya tentang satu gerakan untuk berdoa, iaitu dorongan yang diberikan Paulus kepada rakan misionarinya yang masih muda iaitu Timotius: “Pertama sekali aku menggesa supaya doa permohonan dan ucapan syukur disampaikan kepada Allah untuk semua orang” (1 Timotius 2:1). Kata-kata “pertama kali” menyatakan keutamaan yang tertinggi. Doa-doa kita penting kerana Tuhan, “mahu semua orang diselamatkan serta mengetahui ajaran benar tentang penyelamatan” dalam Yesus (ayat 4).

Tuhan bekerja melalui banyak cara untuk mendorong orang lain dan membawa mereka datang kepada-Nya. Kita mungkin tidak tahu keadaan seseorang apabila mereka muncul dalam minda kita, tetapi Tuhan tahu. Tuhan akan menolong orang itu apabila kita berdoa!