Kanak-kanak sepatutnya mampu menabur benih di mana sahaja mereka mahu [di dalam kebun] dan melihat apa yang tumbuh,” kata Rebecca Lemos-Otero, pengasas Persatuan City Blossoms. Walaupun ini bukanlah cara berkebun yang terbaik, namun dia mencerminkan realiti bahawa setiap benih mempunyai potensi untuk tumbuh dan hidup. Sejak tahun 2004, City Blossoms telah mencipta kebun untuk sekolah dan kawasan kejiranan yang penduduknya berpendapatan rendah. Kanak-kanak ini belajar tentang nutrien dan mendapatkan kemahiran pekerjaan melalui berkebun. Rebecca berkata, “Dengan memiliki ruang hijau yang begitu menyegarkan di kawasan bandar … ini mencipta satu peluang bagi kanak-kanak untuk keluar melakukan sesuatu yang produktif dan indah.”

Yesus menceritakan sebuah kisah tentang menabur benih yang mempunyai potensi untuk menghasilkan buah “seratus kali ganda” daripada benih yang ditaburkan (Lukas 8:8). Benih itu adalah berita baik daripada Tuhan yang ditanam di “tanah subur,” yang dijelaskan-Nya sebagai “orang yang mendengar perkhabaran itu serta menyimpannya di dalam hati yang baik dan jujur. Mereka bertekun sehingga menghasilkan buah” (ayat 15).

Menurut Yesus, satu-satunya cara kita untuk berbuah adalah tetap bersatu dengan Dia (Yohanes 15:4). Sementara kita diajar oleh Kristus dan bergantung kepada-Nya, Roh Kudus akan menghasilkan buah-Nya dalam diri kita iaitu “saling mengasihi, bersukacita, hidup rukun, sabar, berbudi, baik hati, setia, rendah hati, dan dapat mengawal diri (Galatia 5:22-23). Dia menggunakan buah-buah yang dihasilkan-Nya dalam kita itu untuk menyentuh hidup orang lain, yang kemudiannya akan berubah dan menghasilkan buah daripada hidup mereka sendiri. Ini akan menghasilkan kehidupan yang indah.