Ahli-ahli sains tahu planet kita berkedudukan pada jarak yang tepat daripada matahari untuk mendapat manfaat daripada kepanasannya. Jika lebih dekat lagi, semua air di bumi akan menyejat seperti planet Zuhrah. Jarak yang jauh lagi pula akan menyebabkan semua makhluk membeku seperti planet Marikh. Bumi juga mempunyai saiz paling sesuai untuk menghasilkan tenaga graviti yang secukupnya. Graviti yang kurang akan menjadi seperti isipadu bulan yang sangat ringan dan permukaannya yang tandus. Graviti yang lebih pula akan memerangkap gas-gas beracun yang membunuh kehidupan seperti planet Musytari.
Pembentukan dunia kita yang rumit dari segi fizikal, kimia dan biologi menunjukkan bahawa Pencipta dunia ini sangat pintar. Kita melihat kemahiran yang sangat kompleks ini secara sekilas lalu apabila Tuhan berkata kepada Ayub tentang perkara-perkara yang di luar batas pemahaman kita. “Adakah engkau hadir ketika Aku mencipta dunia?” Tuhan bertanya. “Siapakah yang menentukan keluasan dunia? Siapakah yang merentangkan tali ukur untuk mengukurnya? Apakah yang menyangga tiang-tiang bumi? Siapakah yang meletakkan batu penjuru dunia ini,” (Ayub 38:-6).
Pandangan sekilas lalu terhadap kebesaran penciptaan ini menakjubkan kita, bahkan lautan pun tunduk kepada Dia “yang menutup pintu untuk membendung samudera ketika air memancar keluar dari rahim bumi … [yang berkata] ‘Hingga di sini sahaja, dan tidak lebih jauh lagi!’ ” (ayat 8-11). Semoga kita bernyanyi dalam kekaguman dengan bintang-bintang dan bersorak dengan sukacita bersama malaikat-malaikat (ayat 7), kerana dunia yang direka khas ini telah diciptakan untuk kita supaya kita mengenal dan berharap kepada Tuhan.
ILHAM
Setelah perbahasan lebih daripada 35 fasal antara Ayub dan penuduh-penuduhnya, perbualan baru berlaku—Ayub mendengar daripada Tuhan Sendiri! Dalam kebanyakan fasal ini, ketika sahabat-sahabat Ayub sedang menuduhnya, Ayub pula menuduh Tuhan. Hakikatnya, Ayub sebenarnya menuntut Tuhan datang dan menjelaskan perbuatan-Nya. “Tiadakah sesiapa yang mahu mendengar kata-kataku? Aku bersumpah bahawa setiap perkataanku benar. Biarlah Allah Yang Maha Kuasa menjawab aku. Jika semua tuduhan lawanku dituliskan supaya aku dapat melihatnya” (Ayub 31:35). Kini, pada akhir kisah Ayub, Pencipta datang untuk menjawab tuduhan-tuduhan yang diajukan oleh Ayub (fasal 38-41), memberi jawapan-Nya dalam satu rangkaian soalan-soalan (41:6-14). Ayub menunduk di hadapan Tuhan dan mengakui kelemahannya sendiri, dengan mengatakan, “Aku bercakap tentang perkara yang tidak aku mengerti, mengenai hal-hal yang terlalu ajaib bagiku ini” (42:3). Pertemuan yang benar dengan Tuhan Yang Maha Kuasa merupakan satu pengalaman yang rendah diri.Untuk belajar lebih mengenai Tuhan dalam budaya hari ini, lawati bit.ly/2L5Fpoq (bahasa Inggeris).