Ahli-ahli sains tahu planet kita berkedudukan pada jarak yang tepat daripada matahari untuk mendapat manfaat daripada kepanasannya. Jika lebih dekat lagi, semua air di bumi akan menyejat seperti planet Zuhrah. Jarak yang jauh lagi pula akan menyebabkan semua makhluk membeku seperti planet Marikh. Bumi juga mempunyai saiz paling sesuai untuk menghasilkan tenaga graviti yang secukupnya. Graviti yang kurang akan menjadi seperti isipadu bulan yang sangat ringan dan permukaannya yang tandus. Graviti yang lebih pula akan memerangkap gas-gas beracun yang membunuh kehidupan seperti planet Musytari.

Pembentukan dunia kita yang rumit dari segi fizikal, kimia dan biologi menunjukkan bahawa Pencipta dunia ini sangat pintar. Kita melihat kemahiran yang sangat kompleks ini secara sekilas lalu apabila Tuhan berkata kepada Ayub tentang perkara-perkara yang di luar batas pemahaman kita. “Adakah engkau hadir ketika Aku mencipta dunia?” Tuhan bertanya. “Siapakah yang menentukan keluasan dunia? Siapakah yang merentangkan tali ukur untuk mengukurnya? Apakah yang menyangga tiang-tiang bumi? Siapakah yang meletakkan batu penjuru dunia ini,” (Ayub 38:-6).

Pandangan sekilas lalu terhadap kebesaran penciptaan ini menakjubkan kita, bahkan lautan pun tunduk kepada Dia “yang menutup pintu untuk membendung samudera ketika air memancar keluar dari rahim bumi … [yang berkata] ‘Hingga di sini sahaja, dan tidak lebih jauh lagi!’ ” (ayat 8-11). Semoga kita bernyanyi dalam kekaguman dengan bintang-bintang dan bersorak dengan sukacita bersama malaikat-malaikat (ayat 7), kerana dunia yang direka khas ini telah diciptakan untuk kita supaya kita mengenal dan berharap kepada Tuhan.