Stephen memberitahu ibu bapanya bahawa dia perlu pergi awal ke sekolah setiap hari, tetapi atas sebab tertentu dia tidak memberitahu mereka sebabnya perkara itu sangat penting. Tetapi mereka memastikan dia tiba di Sekolah Menengah Northview pada jam 7:15 setiap pagi.
Pada suatu pagi yang sejuk semasa tahun ketiganya, sedihnya Stephen meninggal dunia dalam satu kemalangan jalan raya. Kemudian ibu bapanya mendapat tahu sebabnya dia pergi ke sekolah dengan begitu awal. Setiap pagi, dia dan beberapa orang kawannya berkumpul di jalan masuk untuk menyapa pelajar-pelajar lain dengan senyuman, lambaian tangan atau kata-kata dorongan. Tindakan mereka itu menyebabkan semua pelajar termasuk yang tidak terkenal, berasa dialu-alukan dan diterima.
Sebagai seorang yang percaya kepada Yesus, Stephen mahu berkongsi sukacitanya dengan orang yang sangat memerlukannya. Teladannya terus ditunjukkan sebagai peringatan bahawa salah satu cara terbaik untuk menyinarkan cahaya kasih Kristus adalah melalui perbuatan-perbuatan baik dan sikap yang menerima orang lain.
Dalam Matius 5:14, Yesus menyatakan bahawa dalam Dia, kita “bagaikan cahaya bagi dunia” dan “kota yang terletak di atas bukit” (ayat 14). Kota-kota kuno biasanya dibangunkan di atas batu kapur dan kelihatan sangat menyerlah di bawah pantulan cahaya matahari. Semoga kita memilih untuk tidak bersembunyi tetapi “memberikan cahaya kepada setiap orang di dalam rumah” (ayat 15).
Apabila kita “bersinar di hadapan orang” (ayat 16), semoga mereka mengalami kasih Kristus yang mengalu-alukan dan menerima orang.