Louise menderita penyakit otot. Sewaktu keluar dari stesen kereta api pada suatu hari, dia mendapati dirinya harus menaiki tangga yang besar tanpa lif atau eskalator. Sewaktu dia hampir menangis, Louise melihat seorang lelaki yang tiba-tiba muncul, mengangkat begnya dan dengan lembut menolongnya menaiki tangga. Apabila dia menoleh untuk berterima kasih, orang itu sudah pergi.

Michael sudah terlambat untuk menghadiri satu mesyuarat. Dalam keadaan yang tertekan disebabkan hubungan yang rosak, tayar keretanya juga bocor sewaktu mengharungi lalu lintas London. Ketika dia berdiri dalam hujan dengan keadaan yang tidak berdaya, seorang lelaki muncul di kalangan orang ramai dan menolong dia untuk menukar tayar keretanya. Sewaktu Michael berpaling untuk berterima kasih, orang itu sudah pergi.

Siapakah pembantu-pembantu yang misteri ini? Orang baik yang tidak dikenali, atau malaikat?

Imej malaikat yang terkenal sebagai makhluk bersayap dan bersinar hanya separuh benar. Sementara ada malaikat yang wujudnya sedemikian (Yesaya 6:2; Matius 28:3), ada yang datang dengan kaki berdebu, bersedia untuk makan (Kejadian 18:1-5) dan dengan mudah disalah anggap sebagai orang biasa (Hakim-Hakim 13:16). Penulis Ibrani berkata dengan melayani orang yang tidak dikenali, kita melayani malaikat tanpa menyedarinya (13:2).

Kita tidak tahu sama ada orang yang telah menolong Louise dan Michael adalah malaikat. Akan tetapi menurut Alkitab, kemungkinan mereka adalah malaikat. Para malaikat sedang bekerja sekarang, menolong umat Tuhan (Ibrani 1:14). Mereka boleh kelihatan seperti orang biasa di jalanan.