Menurut dongeng legenda, pereka peta pada zaman pertengahan akan menandakan beberapa sempadan dunia yang diketahui pada masa itu, dan menuliskan perkataan “Di sini ada naga” di bahagian pinggir peta. Malahan, lukisan naga yang menggerunkan juga akan disertakan.
Tiada banyak bukti bahawa perkataan tersebut telah ditulis oleh ahli kartografi, tetapi saya berasa kemungkinan ini adalah besar. Mungkin perkataan “Di sini ada naga” adalah sesuatu yang saya akan tuliskan jika saya pereka peta pada masa itu kerana perkataan ini berfungsi sebagai satu amaran kuat. Ini kerana saya sendiri tidak tahu apa yang akan berlaku apabila saya mengembara ke sesuatu tempat yang tidak diketahui.
Namun, terdapat satu masalah yang sangat ketara mengenai polisi menjaga diri dan mengelakkan risiko: ini bertentangan dengan panggilan Tuhan kepada saya untuk menjadi berani sebagai seorang yang percaya kepada Yesus (2 Timotius 1:7).
Mungkin ada orang mengatakan bahawa saya keliru dalam perkara yang betul-betul bahaya. Sebagaimana yang dikatakan Paulus, mengikut Yesus dengan berani di dunia yang hancur kadangkala menyakitkan (ayat 8). Akan tetapi sebagai orang yang telah ditebus daripada kematian kepada kehidupan, dan dikurniai Roh yang mengalir dalam dan melalui kita (ayat 9-10,14), bagaimanakah mungkin kita tidak mengikut Yesus dengan berani?
Apabila Tuhan memberi kita Roh Kudus yang begitu hebat, tindakan kita yang berundur kerana ketakutan adalah satu tragedi—jauh lebih teruk daripada apa yang mungkin dihadapi apabila kita mengikut Kristus yang membawa kita ke wilayah yang belum dipetakan (ayat 6-8,12). Kita dapat mempercayakan hati dan masa depan kita kepada Dia (ayat 12).