Di negara Zimbabwe, Afrika, trauma akibat peperangan dan kadar pengangguran yang tinggi telah menyebabkan orang berasa putus asa—sehingga mereka menemukan harapan daripada “bangku persahabatan”. Orang yang putus harapan akan pergi ke situ untuk bercakap dengan “nenek-nenek” terlatih, iaitu wanita-wanita lanjut umur yang telah diajar untuk mendengar luahan orang yang bergelut dengan kemurungan, yang dikenali dalam bahasa Shona di negara itu sebagai kufungisisa, atau bermaksud “terlalu banyak berfikir”.

Projek Bangku Persahabatan dilancarkan di tempat-tempat lain, termasuklah Zanzibar, London dan Bandaraya New York. “Kami berasa sangat seronok dengan hasilnya,” kata seorang penyelidik dari London. Seorang kaunselor dari New York juga bersetuju. “Tanpa disedarinya, anda bukan duduk di atas bangku, tetapi anda sedang mengadakan satu perbualan dengan seseorang yang mempedulikan.”

Projek itu membangkitkan kehangatan dan rasa kagum dalam berkomunikasi dengan Tuhan kita yang maha kuasa. Musa telah mendirikan bukan sebuah bangku tetapi sebuah khemah untuk berbicara dengan Tuhan. Di situ, “Tuhan berfirman kepada Musa dengan bersemuka, sebagaimana seseorang bercakap dengan sahabatnya.” (Keluaran 33:11). Yosua, penolongnya, tidak mahu meninggalkan khemah itu. Ini mungkin disebabkan bahawa dia sangat menghargai masanya dengan Tuhan (ayat 11).

Pada hari ini, kita tidak lagi memerlukan Khemah Pertemuan. Kita boleh datang menghadap Tuhan melalui Yesus. Seperti yang dikatakan-Nya kepada para pengikut, “Aku memanggil kamu sahabat-sahabat-Ku, kerana Aku sudah memberitahu kamu segala yang telah Aku dengar daripada Bapa-Ku” (Yohanes 15:15). Ya, Tuhan menantikan kita. Dialah penolong kita yang paling bijak dan Sahabat yang memahami kita. Bercakaplah kepada Dia sekarang.