Pada tahun 1918, semasa penghujung Perang Dunia yang Pertama, Jurugambar Eric Enstrom, sedang menyusun sebuah portfolio pekerjaannya. Dia mahu menyertakan sekeping gambar yang dapat menyatakan rasa kepuasan yang melimpah pada zaman orang berasa kekosongan. Gambar yang menjadi kegemaran orang ramai ini mengandungi seorang lelaki berjanggut kelihatan duduk di meja dengan kepala tertunduk dan kedua-dua tangannya terkunci dalam doa. Di atas meja terdapat sebuah buku, kaca mata, semangkuk bubur, sebuku roti dan sebilah pisau.
Ramai yang berkata bahawa gambar itu menunjukkan keadaan yang serba kekurangan. Tetapi maksud Enstrom adalah sebaliknya. Gambar ini menggambarkan kehidupan penuh yang dijalani dengan kesyukuran yang juga dapat kita alami tidak kira apa keadaan kita. Yesus mengkhabarkan berita baik dalam Yohanes 10: “hidup yang kelimpahan” (ayat 10). Kita merosakkan berita baik ini apabila kita menyamakan kelimpahan dengan kebendaan. Kelimpahan yang dikatakan oleh Yesus bukan diukur oleh kategori dunia seperti kekayaan ataupun harta, melainkan hati, minda, jiwa dan kekuatan yang penuh dengan kesyukuran kerana Gembala yang Baik “mengorbankan nyawa untuk kawanan dombanya” (ayat 11), dan memelihara keperluan seharian kita. Inilah hidup yang kelimpahan—setiap kita dapat menikmati hubungan dengan Tuhan.
ILHAM
Tujuh pernyataan “Akulah” yang dicatatkan dalam kitab Yohanes merupakan penghuraian Kristus mengenai Diri-Nya Sendiri. Pernyataan ini adalah ibarat yang digunakan-Nya untuk menonjolkan bayangan yang menggambarkan implikasi pengenalan-Nya. Yesus berkata, “Akulah roti yang memberikan hidup” (Yohanes 6:35); “cahaya bagi dunia” (8:12); “pintu” (10:9); “gembala yang baik” (10:11); “yang membangkitkan orang mati dan yang memberikan hidup” (11:25-26); “jalan untuk mengenal Allah dan untuk mendapat hidup” (14:6); dan “pokok anggur” (15:5).Dengan menggambarkan-Nya Sendiri sebagai pintu (10:7), Dia mengumumkan bahawa domba hanya akan mendapat keselamatan dan menjumpai padang rumput apabila domba-domba masuk melalui Dia. Kemudian, dalam gambaran yang berkaitan, Yesus memanggil Diri-Nya Gembala yang Baik (ayat 11). Ini ialah gambaran kepercayaan dan kerapatan. Yesus mengenali domba-Nya dalam cara yang mendalam dan peribadi, malah Dia mengorbankan nyawa-Nya untuk mereka apabila berdepan dengan ancaman.