Sewaktu kanak-kanak, saya menganggap lagu Inggeris “Dia Melihat Di Sebalik Salahku dan Nampak Keperluanku (Need)” hasil gubahan Dottie Rambo pada tahun 1967, sebagai “Dia Melihat Di Sebalik Salahku dan Nampak Lututku (Knees)”. Pada ketika itu, saya selalu tertanya-tanya sebabnya Tuhan mahu melihat lutut saya. Adakah mungkin kerana lutut-lutut itu lemah? Saya tahu maksud lemah lutut ialah “takut”. Kemudian saya mendapati bahawa Dottie menggubah lagu itu yang berbicara tentang kasih Tuhan yang tidak bersyarat, sebagai respons kepada saudara lelakinya Eddie yang berfikir bahawa dia tidak mungkin dikasihi Tuhan kerana perbuatan-perbuatan jahat yang pernah dilakukannya. Dottie meyakinkan Eddie bahawa Tuhan melihat kelemahannya namun tetap mengasihinya.

Kasih Tuhan yang tidak bersyarat sangat ketara sepanjang sejarah umat Israel dan Yehuda yang lemah lutut. Dia mengutus nabi-nabi seperti Yesaya untuk menyampaikan perintah Tuhan kepada umat-Nya yang sesat. Dalam Yesaya 35, nabi berkongsi harapan tentang pemulihan daripada Tuhan. Dorongan yang diterima daripada mesej harapan tentang “kuatkanlah tangan yang lemah, dan teguhkanlah lutut yang goyah” (ayat 3). Melalui dorongan yang diterima mereka, umat Tuhan pula mampu mendorong orang lain. Justeru itu dalam ayat 4, nabi Yesaya berkata “Katakanlah kepada tiap-tiap orang yang tawar hati, ‘Kuatkanlah hatimu dan jangan takut!’ ”

Adakah anda lemah lutut? Bercakaplah dengan Bapa Syurgawi. Dia menguatkan lutut yang lemah melalui kebenaran firman dan kuasa hadirat-Nya. Anda dapat mendorong orang lain.