Banksy, seorang artis yang nakal sekali lagi membuat satu lawak jenaka. Hasil lukisannya, Gadis dengan Belon Merah, telah dijual pada harga sejuta paun di rumah lelongan London. Sejurus selepas diumumkan “Sudah Dijual”, alat penggera berbunyi dan lukisan itu tergelincir ke bawah dan separuh daripadanya dimasukkan ke dalam mesin pencincang yang dipasang di bawah bingkai lukisan tersebut. Banksy mengirim gambar wajah-wajah pengumpul seni dan pelanggan yang tercengang di twitternya dan menyertakan kapsyen, “Pergi, pergi, lesap.”

Banksy suka mengusik orang kaya, tetapi dia tidak perlu ambil peduli. Ini kerana terdapat banyak penipuan tentang kekayaan. Tuhan berkata, “Jangan rosakkan kesihatan kamu kerana hendak menjadi kaya. Wang kamu boleh hilang secepat kilat, seolah-olah wang itu bersayap dan terbang ke angkasa seperti burung helang” (ayat 4-5).

Wang bukan sesuatu yang dapat membawa jaminan. Kita bekerja keras untuk mendapatkan wang tetapi ada banyak cara untuk kehilangannya. Kegagalan dalam pelaburan, inflasi tercetus, bil-bil tunggakan, kecurian, banjir dan api menghancurkannya. Walaupun kita berjaya mengumpulkan wang, masa untuk membelanjakannya juga kian hilang. Pejam celik, hidup kita sudah pergi, pergi, lesap.

Apakah yang perlu dilakukan? Tuhan berkata kepada kita dalam beberapa ayat kemudian, “Hormatlah dan takutlah kepada TUHAN dengan sepenuh hati supaya masa depan kamu terjamin dan harapan kamu tidak hilang” (ayat 17-18). Laburkan hidup anda dalam Yesus, hanya Dia yang akan memelihara anda selama-lamanya.