Teknologi pada masa kini nampaknya menuntut perhatian yang berterusan daripada kita. “Mukjizat” moden di Internet (yang sekarang mudah diakses melalui telefon pintar) memberi kita keupayaan yang luar biasa untuk mengakses pengetahuan yang meluas di tapak tangan. Tetapi bagi kebanyakan orang, ada harga yang perlu dibayar untuk akses berterusan sedemikian.
Linda Stone, seorang penulis, mencipta frasa baru yang berbunyi “ perhatian separa yang berterusan” untuk menjelaskan dorongan masa kini yang selalu ingin tahu apa yang berlaku ”di luar sana”, bagi memastikan kita tidak ketinggalan apa-apa. Jika hal ini kedengarannya akan menimbulkan kebimbangan yang kronik, anda memang benar!
Walaupun rasul Paulus bergelut dengan pelbagai punca kebimbangan yang berbeza, dia tahu bahawa jiwa kita seharusnya mencari ketenangan di dalam Tuhan. Itulah sebabnya, dalam surat Paulus kepada orang yang baru percaya kepada Yesus yang telah bertahan dalam penganiayaan (1 Tesalonika 2:14), Paulus membuat kesimpulan dengan menggesa orang percaya agar “sentiasa bersukacita, dan berdoa sentiasa, bersyukur dalam segala keadaan” (5:16-18).
Berdoa “Sentiasa” mungkin kedengaran agak menggerunkan. Tetapi, berapa kerapkah kita memeriksa telefon kita? Sebaliknya, apa kata kita biarkan keinginan sedemikian menjadi sesuatu yang menggesa kita berbicara kepada Tuhan? Untuk mengucap syukur, menaikkan doa permohonan, ataupun memuji Dia?
Lebih penting lagi, apa kata kita belajar menukarkan keperluan untuk sentiasa “tahu” kepada hati yang penuh doa di hadirat Tuhan? Dengan bersandar kepada Roh Kristus, kita boleh belajar memberi sepenuh perhatian yang berterusan kepada Bapa Syurgawi dalam menjalani kehidupan seharian kita.