Sewaktu keluar bersiar-siar, penulis Martin Laird sering bertemu dengan seorang lelaki bersama dengan empat ekor anjingnya. Tiga ekor daripada anjing tersebut berlari liar ke serata padang yang terbuka, tetapi ada seekor yang tinggal dekat dengan pemiliknya dan hanya berlari dalam lingkaran yang kecil. Apabila Laird bertanya mengenai tingkah laku anjing itu yang aneh, pemiliknya menjelaskan bahawa itu adalah anjing penyelamat yang telah menghabiskan sebahagian besar hidupnya tinggal dalam sangkar. Maka itulah sebabnya anjing itu hanya berlegar dalam lingkaran seolah-olah berada dalam sangkar.
Firman Tuhan berkata bahawa kita adalah terperangkap dan tiada harapan kecuali Tuhan menyelamatkan kita. Pemazmur berkata mengenai dirinya yang dikelilingi musuh, katanya, “Bahaya maut mengelilingi[nya], dan kubur memasang perangkap untuk[nya]” (Mazmur 18:5-6). Dalam kesusahan, dia berseru kepada TUHAN meminta pertolongan. Dengan kuasa yang hebat, “dari atas TUHAN menghulurkan tangan-Nya” dan memegang tangannya (ayat 17).
Tuhan juga dapat melakukan hal yang sama untuk kita. Dia dapat memutuskan rantai dan melepaskan kita daripada kesusahan yang bagaikan kurungan kita. Dia dapat melepaskan kita daripada bahaya (ayat 20). Alangkah sedihnya jika kita masih berlegar-legar dalam bulatan yang kecil, seolah-olah kita masih terkurung dalam penjara lama kita. Dalam kekuatan Tuhan, semoga kita tidak lagi dibelenggu oleh ketakutan, keaiban, atau penindasan. Tuhan telah menyelamatkan kita daripada kurungan maut tersebut. Kita boleh menjalani hidup ini dengan bebas.
ILHAM
Puisi adalah bahasa padat yang mengisahkan banyak dengan menggunakan beberapa perkataan sahaja. Para penyair yang banyak menulis Perjanjian Lama berbahasa Ibrani. Puisi Ibrani sedikit berbeza daripada puisi yang ditulis dalam bahasa-bahasa moden, maka kita perlu bertanya bagaimana puisi berfungsi dalam budaya Timur Dekat purba itu.Hari ini kita mungkin biasa dengan puisi yang mempunyai rima dan matra (suatu irama berentak). Sebaliknya, puisi Ibrani tidak menggunakan rima mahupun matra. Kita belajar bagaimana membacanya apabila kita mengenal gaya penulisan yang digunakan oleh penyair purba, terutamanya parallelism (keselarian), gambaran, dan akrostik.
Keselarian digunakan sepanjang Mazmur 18. Ini adalah istilah yang menggambarkan kesan bergema dalam satu baris atau ayat puisi dengan cara kontras atau ulangan. Cara ini mungkin satu-satunya cara penulisan puisi yang paling penting kerana sering digunakan dalam puisi Ibrani.