Sewaktu keluar bersiar-siar, penulis Martin Laird sering bertemu dengan seorang lelaki bersama dengan empat ekor anjingnya. Tiga ekor daripada anjing tersebut berlari liar ke serata padang yang terbuka, tetapi ada seekor yang tinggal dekat dengan pemiliknya dan hanya berlari dalam lingkaran yang kecil. Apabila Laird bertanya mengenai tingkah laku anjing itu yang aneh, pemiliknya menjelaskan bahawa itu adalah anjing penyelamat yang telah menghabiskan sebahagian besar hidupnya tinggal dalam sangkar. Maka itulah sebabnya anjing itu hanya berlegar dalam lingkaran seolah-olah berada dalam sangkar.

Firman Tuhan berkata bahawa kita adalah terperangkap dan tiada harapan kecuali Tuhan menyelamatkan kita. Pemazmur berkata mengenai dirinya yang dikelilingi musuh, katanya, “Bahaya maut mengelilingi[nya], dan kubur memasang perangkap untuk[nya]” (Mazmur 18:5-6). Dalam kesusahan, dia berseru kepada TUHAN meminta pertolongan. Dengan kuasa yang hebat, “dari atas TUHAN menghulurkan tangan-Nya” dan memegang tangannya (ayat 17).

Tuhan juga dapat melakukan hal yang sama untuk kita. Dia dapat memutuskan rantai dan melepaskan kita daripada kesusahan yang bagaikan kurungan kita. Dia dapat melepaskan kita daripada bahaya (ayat 20). Alangkah sedihnya jika kita masih berlegar-legar dalam bulatan yang kecil, seolah-olah kita masih terkurung dalam penjara lama kita. Dalam kekuatan Tuhan, semoga kita tidak lagi dibelenggu oleh ketakutan, keaiban, atau penindasan. Tuhan telah menyelamatkan kita daripada kurungan maut tersebut. Kita boleh menjalani hidup ini dengan bebas.