Dalam buku What We Keep (Apa Yang Kita Simpan), sebuah koleksi temu ramah, yang dikumpulkan oleh Bill Shapiro, setiap orang menceritakan satu benda yang sangat penting dan membawa kegembiraan sehingga mereka tidak sanggup membuangkannya.

Ini membuatkan saya merenungkan satu benda yang amat bermakna dan membawa kegembiraan kepada saya. Salah satunya ialah sekeping kad resipi tulisan tangan ibu saya yang berusia 40 tahun. Satu lagi ialah cawan teh nenek saya yang berwarna merah muda. Orang lain mungkin menghargai ingatan-ingatan yang berharga, misalnya kata pujian yang telah menggalakkan mereka, ketawa seorang cucu, atau pemahaman bernas yang diperoleh daripada Alkitab.

Bagaimanapun, perkara yang kita sering menyembunyikan dalam hati adalah perkara yang membawa kesedihan besar: Kekhuatiran—tersembunyi, tetapi mudah diketahui. Kemarahan—tidak kelihatan, tetapi sedia hendak meledak. Kebencian—secara diam-diam menghancurkan teras pemikiran kita.

Rasul Paulus menyampaikan cara “pemikiran” yang lebih positif kepada jemaah di Filipi. Dia mendorong jemaah supaya sentiasa bersukacita, lemah lembut, dan menyerahkan segala perkara kepada Tuhan dalam doa permohonan (Filipi 4:4-9).

Kata-kata Paulus yang membawa dorongan mengajar bagaimana kita harus berfikir, serta membantu kita menolak pemikiran-pemikiran jahat dan mengizinkan kesejahteraan Tuhan untuk menjaga hati dan fikiran kita dalam Kristus Yesus (ayat 7). Apabila kita menumpukan fikiran hanya kepada perkara-perkara yang baik dan yang patut dipuji, iaitu perkara yang benar, yang mulia, yang adil, yang murni, yang elok dan yang terhormat, barulah kesejahteraan-Nya akan kekal dalam hati kita (ayat 8).