Rancangan Jane untuk menjadi seorang ahli terapi pertuturan telah berakhir apabila keputusan latihan yang dijalankan menunjukkan bahawa tugas itu terlalu mencabar untuknya dari segi emosi. Kemudian dia diberikan peluang untuk menulis ruangan bagi sebuah majalah. Dia tidak pernah menganggap dirinya seorang penulis, tetapi bertahun-tahun kemudian dia mendapati dirinya menjadi sokongan kepada keluarga-keluarga yang memperoleh bantuan melalui penulisannya. Dia berkata, “ketika mengimbas kembali, saya dapat melihat mengapa Tuhan mengubah rancangan saya. Dia mempunyai rancangan yang lebih besar untuk saya.”

Alkitab mempunyai banyak kisah tentang rancangan yang terganggu. Dalam perjalanan misi keduanya, Paulus “mencuba masuk ke wilayah Bitinia”, tetapi Roh Yesus tidak membenarkan dia (Kisah Rasul-Rasul 16:6–7). Ini kelihatan menghairankan: Mengapakah Yesus mengganggu rancangan yang sesuai dengan misi yang diberikan oleh Tuhan? Jawapannya didedahkan melalui satu mimpi pada suatu malam: Makedonia lebih memerlukan dia. Di sana, Paulus akan menubuhkan gereja pertama di Eropah. Salomo juga menyedari, “Manusia mempunyai banyak rancangan, tetapi hanya kehendak TUHAN akan terlaksana” (Amsal 19:21).

Membuat perancangan adalah perkara yang wajar. Satu pepatah terkenal yang berbunyi, “Gagal merancang, merancang kegagalan.” Tetapi Tuhan mungkin menggangu rancangan kita dengan rancangan-Nya. Kita tahu bahawa kita boleh percaya kepada Tuhan, tetapi cabaran kita adalah mendengar dan mentaati Dia. Jika kita tunduk kepada kehendak-Nya, kita akan mendapati diri kita berada dalam tujuan-Nya untuk kehidupan kita.

Apabila kita terus merancang, kita boleh menambah idea yang baru ini: Rancangkan untuk mendengar. Dengarkan rancangan Tuhan.