Semasa kejohanan Ironman Triathlon dilangsungkan di Hawaii pada tahun 1997, dua peserta wanita berjuang untuk bertahan ketika mereka berlari menuju ke garisan penamat. Sungguhpun letih, mereka bertahan dengan kaki yang lemah, sehingga Sian Welch terlanggar Wendy Ingraham. Kedua-dua mereka jatuh. Mereka sukar untuk berdiri, bergelut untuk berjalan ke depan dengan terhuyung-hayang, namun jatuh sekali lagi kira-kira 20 meter sebelum sampai garisan penamat. Apabila Ingraham mula merangkak, para penonton memberi sorakan. Kemudian Welch turut merangkak, dan penonton bersorak dengan lebih kuat. Ingraham mendapat tempat keempat, dan dia jatuh tersembam ke arah para penyokongnya ketika melepasi garisan penamat. Kemudian dia berpaling dan menghulurkan tangan kepada Welch yang terjatuh. Welch menerpa ke hadapan, menghulurkan lengannya yang keletihan ke arah tangan Ingraham dan melepasi garisan penamat. Sebaik sahaja dia menamatkan perlumbaan dan mendapat tempat kelima, para penonton bersorak dengan kuat sebagai tanda sokongan.

Dua peserta yang telah habis berlumba dalam tiga acara sukan (renang, berbasikal dan berlari) sejauh 225 km dalam kisah ini telah memberi inspirasi kepada orang ramai. Tetapi gambaran mengenai pesaing-pesaing yang keletihan dan sama-sama bertahan tetap tertanam dalam fikiran saya, meneguhkan kebenaran yang memperkasakan hidup dalam Pengkhutbah 4:9-14.

Kita tidak perlu berasa malu untuk mengakui bahawa kita memerlukan bantuan dalam kehidupan (ayat 9), memandangkan kita tidak dapat menafikan atau menyembunyikannya daripada Tuhan Yang Maha Tahu. Kesemua kita pernah jatuh dalam kehidupan, sama ada secara fizikal atau emosi. Namun kita akan terhibur apabila kita tahu bahawa kita tidak keseorangan ketika kita bertahan dalam perlumbaan hidup. Sebagaimana Bapa kita yang pengasih suka menolong kita, Dia juga memberikan kuasa kepada kita untuk menjangkau orang lain yang memerlukan bantuan, meneguhkan mereka bahawa mereka juga tidak keseorangan.