Jose menggembala sebuah gereja yang terkenal dengan program dan penerbitan teaternya. Program dan teaternya dilakukan dengan baik, tetapi Jose bimbang kesibukan mereka dalam semua program ini akan mengalihkan fokus gereja. Adakah gereja bertumbuh disebabkan oleh tujuan yang benar ataupun kerana aktiviti-aktivitinya? Jose ingin mengetahuinya, jadi dia membatalkan semua acara tambahan gereja selama setahun. Jemaahnya menumpukan diri sebagaiRumah Tuhan yang hidup, menyembah Tuhan dengan sepenuh hati.

Tindakan Jose mungkin kelihatan melampau, sehinggalah anda melihat apa yang telah dilakukan Yesus apabila Dia pergi ke halaman luar Rumah Tuhan. Tempat suci yang seharusnya penuh dengan doa telah menjadi tempat perniagaan yang sibuk. Yesus menunggangbalikkan meja para penjual dan melarang segala kegiatan jual beli. Yesus marah dan memetik Yesaya 56 dan Yeremia 7: “ ‘Rumah-Ku akan disebut rumah tempat berdoa untuk semua bangsa!’ Tetapi kamu menjadikannya tempat persembunyian perompak!” (Markus 11:17). Halaman luar ialah tempat penyembahan bagi orang bukan Yahudi, tetapi telah dijadikan pasar untuk mengaut keuntungan.

Menjalankan perniagaan atau berada dalam kesibukan bukanlah sesuatu yang salah. Tetapi ini bukanlah tujuan gereja. Kita merupakan Rumah Tuhan yang hidup, dan tugas utama kita adalah menyembah Yesus. Kita mungkin tidak perlu menunggangbalikkan apa-apa meja seperti yang dilakukan Yesus, tetapi Dia mungkin memanggil kita mengambil tindakan yang sama drastiknya.