Finn, seekor ikan pelaga, hidup di rumah kami selama 2 tahun. Anak perempuan saya yang kecil sering membongkokkan badan dan bercakap dengan ikan itu selepas memberikannya makanan. Dia dengan bangganya mengatakan bahawa ikan itu kepunyaannya apabila menyampaikan topik tentang haiwan peliharaan di sekolah tadikanya. Apabila Finn mati, anak saya berasa sangat sedih.
Emak saya menasihati saya untuk mendengar luahan hati anak kecil saya dengan baik dan memberitahu dia bahawa, “Tuhan tahu segalanya.” Saya setuju bahawa Tuhan mengetahui segala-galanya, namun masih tertanya-tanya, Bagaimanakah hal itu dapat menghibur dia? Kemudian saya teringat bahawa Tuhan bukan sekadar mengetahui setiap peristiwa dalam hidup kita—Dia dengan penuh belas kasihan melihat jiwa kita dan tahu bagaimana segala peristiwa itu akan mempengaruhi kita. Dia memahami bahawa “perkara-perkara kecil” mungkin akan menjadi perkara besar disebabkan umur kita, luka-luka yang lalu, ataupun kerana kekurangan sumber.
Yesus melihat nilai sebenar dalam persembahan seorang balu—dan hatinya—sewaktu dia memasukkan dua keping mata wang tembaga ke dalam peti persembahan di Rumah Tuhan. Dia menjelaskan makna persembahan itu bagi balu itu apabila Dia berkata, “Ketahuilah, balu yang miskin ini memberikan persembahan yang lebih besar nilainya daripada semua orang lain… dia mendermakan semua nafkahnya” (Markus 12:43–44).
Balu itu hanya diam sahaja mengenai keadaannya tetapi Yesus mengetahui bahawa apa yang dianggap orang sebagai sumbangan kecil merupakan satu pengorbanan bagi dia. Yesus juga melihat hidup kita dengan cara yang sama. Semoga kita mendapat penghiburan dalam belas kasihan Tuhan yang tidak ada hadnya.