Ketua kumpulan nyanyian di universiti kami memimpin kumpulan tersebut dan mengiringi kami dengan piano pada masa yang sama, mengimbangi kedua-dua tanggungjawabnya dengan mahir. Pada penghujung satu konsert, dia kelihatan sangat letih, jadi saya bertanya jika dia baik-baik sahaja. Dia menjawab, “Saya tidak pernah membuat persembahan sedemikian sebelum ini.” Kemudian dia menjelaskan, “Nada piano itu sumbang sehingga saya terpaksa memainkan dua nada yang berbeza sepanjang konsert itu—tangan kiri saya memainkan satu nada dan tangan kanan saya memainkan nada yang lain!” Saya terpesona dengan kemahiran yang ditampilkannya, dan saya kagum dengan Tuhan yang telah mencipta manusia untuk memiliki kemampuan sedemikian.

Raja Daud menyatakan kekagumannya yang lebih besar apabila dia menulis, “Aku memuji Engkau kerana Engkau menciptakan aku dengan baik dan luar biasa. Segala perbuatan-Mu ajaib dan mengagumkan. Aku benar-benar menyedarinya” (Mazmur 139:14). Sama ada kemampuan manusia atau keindahan alam semula jadi, keajaiban ciptaan menunjukkan keagungan Sang Pencipta kepada kita.

Suatu hari kelak, apabila kita berada di hadapan Tuhan, manusia daripada setiap generasi akan menyembah Dia dengan kata-kata, “Ya Tuhan dan Allah kami! Engkau sahaja yang layak menerima kemuliaan, penghormatan, dan kekuasaan, kerana Engkaulah yang menciptakan segala sesuatu, dan dengan kehendak-Mu juga segala sesuatu itu wujud dan hidup” (Wahyu 4:11). Kemahiran yang mengagumkan dan keindahan agung dalam ciptaan Tuhan memberi kita alasan yang cukup untuk menyembah Dia.