Sahabat saya, Robert dan Colleen mempunya perkahwinan yang sihat untuk berdekad-dekad, dan saya suka melihat mereka berinteraksi. Salah seorang akan menghulurkan mentega kepada yang seorang lagi sebelum diminta. Salah seorang akan mengisikan air ke dalam gelas tepat pada masanya. Apabila mereka bercerita, mereka melengkapkan ayat satu sama lain. Kadangkala mereka kelihatan dapat memahami fikiran satu sama lain.

Kita memang dapat merasakan penghiburan Tuhan kerana Dia lebih mengetahui dan mempedulikan kita daripada sesiapa pun yang kita kenal dan kasihi. Apabila nabi Yesaya menggambarkan hubungan antara Tuhan dengan umat-Nya dalam Pemerintahan yang akan datang, dia menggambarkan satu hubungan yang intim dan penuh kasih. Tuhan berfirman mengenai umat-Nya, “Sebelum mereka habis berdoa, Aku sudah mengabulkan doa mereka” (Yesaya 65:24).

Adakah ini benar? Ada perkara-perkara yang sudah saya doakan bertahun-tahun lamanya tetapi tidak terjawab. Saya percaya bahawa apabila kita semakin rapat dengan Tuhan, menyelaraskan hati kita dengan hati-Nya, kita akan belajar untuk percaya pada waktu dan penjagaan-Nya. Kita mula menginginkan apa yang dinginkan-Nya. Apabila kita berdoa, kita juga memohon perkara yang merupakan sebahagian dalam Pemerintahan Tuhan seperti yang dinyatakan dalam Yesaya 65: Tiada lagi tangisan (ayat 19). Rumah yang selamat dan perut yang kenyang serta pekerjaan yang bermakna disediakan untuk semua orang (ayat 21-23). Keamanan di alam sekitar (ayat 25). Apabila Pemerintahan Tuhan yang sempurna datang, Tuhan akan menjawab doa-doa ini sepenuhnya.