Selama 12 tahun, Chirpy, seekor burung camar, datang setiap hari untuk melawat orang yang telah menolong menyembuhkan kakinya yang patah. John memikat Chirpy dengan biskut anjing, barulah dapat merawatnya. Walaupun Chirpy hanya tinggal di Pantai Instow di Devon, England, John Sumner dapat berjumpanya dengan mudah antara bulan September dan Mac—Chirpy terbang terus kepada John apabila dia sampai di pantai setiap hari, sungguhpun burung ini tidak mendekati orang lain. Ini pastinya satu hubungan yang istimewa.

Hubungan John dan Chirpy mengingatkan saya tentang satu hubungan lagi yang tidak biasa antara orang dengan burung. Apabila Elia, salah seorang nabi Tuhan, diutus ke padang gurun untuk “bersembunyilah dekat sungai kecil Kerit” ketika musim kemarau, Tuhan berkata dia boleh minum dari sungai itu, dan Dia akan memerintahkan burung gagak untuk membawa makanan kepadanya (1 Raja-Raja 17:3-4). Walaupun keadaan dan sekelilingnya susah, Elia mendapat keperluan makanan dan air. Burung gagak tidak mungkin menjadi penghantar makanan—biasanya makanan burung gagak tidak sesuai untuk manusia—namun burung gagak menghantar makanan yang selamat dimakan untuk Elia.

Kita tidak hairan bahawa manusia membantu burung, tetapi apabila burung gagak membawa “roti dan daging kepada [Elia] setiap pagi dan petang”, maka ia menonjolkan kuasa dan penjagaan Tuhan (ayat 6). Seperti Elia, kita juga boleh mempercayai pembekalan Tuhan untuk kita.