D digelar sebagai “salah seorang yang paling berani di dunia ini,” tetapi dia bukanlah wira yang diharapkan oleh orang lain. Desmond seorang askar yang enggan membawa pistol. Sebagai askar perubatan, dia telah menyelamatkan seramai 75 orang askar yang cedera akibat peperangan, termasuk mereka yang pernah memanggilnya pengecut dan mengejek dia kerana imannya. Dia berlari ke medan perang sambil berdoa terus-menerus, “Tuhan, tolong aku menyelamatkan seorang lagi.” Dia dianugerahkan Pingat Kehormatan kerana keberaniannya.
Alkitab memberitahu kita bahawa Yesus benar-benar disalahfahamkan. Pada hari yang diramalkan oleh nabi Zakharia (9:9), Yesus masuk ke Yerusalem dengan menunggang seekor keldai dan orang ramai mengambil dahan-dahan sambil berseru “Hosana!” (Seruan pujian yang bermaksud “Keselamatan!”). Dengan memetik Mazmur 118:26, mereka berseru: “Diberkatilah Dia yang datang dengan nama Tuhan!” (Yohanes 12:13). Tetapi ayat yang seterusnya dalam mazmur merujuk kepada pengorbanan, “Dengan melambai-lambaikan dahan pokok” (Mazmur 118:27). Orang ramai dalam Yohanes 12 menginginkan seorang raja duniawi untuk menyelamatkan mereka daripada penjajahan Roma, tetapi pekerjaan Yesus adalah lebih daripada itu. Dia adalah Raja segala raja dan korban kita—Tuhan dalam bentuk tubuh manusia, rela dikorbankan pada kayu salib untuk menyelamatkan kita daripada dosa—tujuan yang telah dinubuat sejak berabad-abad dahulu.
Yohanes menulis bahawa “Pada masa itu pengikut-pengikut Yesus tidak memahami semuanya”. Hanya kemudian “barulah mereka teringat bahawa apa yang dilakukan oleh orang ramai bagi-Nya sudah tertulis di dalam Alkitab” (Yohanes 12:16). Tujuan kekal Tuhan menjadi jelas setelah disinari oleh firman-Nya. Dia sangat mengasihi kita sehingga mengutus Penyelamat yang perkasa!