Seorang ibu dan anak perempuannya yang kecil duduk di gereja pada suatu hari. Semasa khutbah disampaikan, pengkhutbah menggalakkan orang ramai menerima pengampunan Tuhan secara terbuka. Setiap kali seseorang berjalan ke hadapan untuk berbuat demikian, anaknya akan mula bertepuk tangan. “Maafkan saya,” kata ibu itu kepada pemimpin gereja. “Saya menjelaskan kepada anak perempuan saya bahawa pertaubatan bermaksud kita menjadi sahabat semula dengan Tuhan. Dia pun sangat gembira dan mahu bersorak untuk semua orang.”
Untuk membantu seorang kanak-kanak memahami apa itu Injil, ibu itu telah memberikan penjelasan yang baik. Dahulu kita ialah musuh Tuhan, tetapi hubungan kita didamaikan melalui kematian dan kebangkitan Kristus (Roma 5:9-10). Sekarang kita sememangnya sahabat Tuhan. Oleh sebab kita yang merosakkan persahabatan ini (ayat 8), maka ini tanggungjawab kita untuk bertaubat agar boleh memperoleh kedamaian ini. Tindak balas gadis kecil itu memang sesuai. Memandangkan segala makhluk di syurga juga bertepuk tangan apabila hanya seorang yang bertaubat (Lukas 15:10), maka anak perempuan tersebut sebenarnya menggemakan kegembiraan ini tanpa sedar.
Yesus menggambarkan perdamaian-Nya dengan istilah yang serupa. “Tiada kasih yang lebih besar daripada kasih seorang yang mengorbankan nyawanya untuk sahabatnya” (Yohanes 15:13, AVB). Hasil daripada pengorbanan Kristus untuk kita, kini kita boleh menjadi sahabat-Nya. “Aku tidak lagi memanggil kamu hamba … Aku memanggil kamu sahabat-sahabat-Ku” (Yohanes 15:15).
Dahulu kita ialah musuh Tuhan, kini kita menjadi sahabat-Nya. Inilah satu kebenaran yang luar biasa, dan kita haruslah bertepuk tangan.
ILHAM
Perdamaian memulihkan mereka yang dipisahkan daripada Tuhan. Paulus merupakan satu-satunya pengarang Perjanjian Baru yang menggunakan perkataan diperdamaikan, sering menggunakannya dalam petikan; contohnya, dia menggunakannya dua kali dalam Roma 5:10-11. Dia juga menggunakannya dalam Roma 11:15, 2 Korintus 5:18-19, dan 1 Korintus 7:11 (berkaitan dengan pendamaian manusia).Petikan hari ini menekankan keperluan kematian Yesus untuk memperdamaikan kita dengan Tuhan. Tetapi itu bukan pengakhiran. Perdamaian kita melalui kematian-Nya memimpin kepada keselamatan kita melalui nyawa-Nya. Paulus menulis, “ketika masih seteru, diperdamaikan dengan Allah oleh kematian Anak-Nya, lebih-lebih kita, yang sekarang telah diperdamaikan, pasti akan diselamatkan oleh hidup-Nya!” (Roma 5:10, ATB). Ambil perhatian bahawa dua kata kerja berlainan telah digunakan: kita telah diperdamaikan dan kita akan diselamatkan. Paulus berkata bahawa kematian Yesus dan kebangkitan-Nya diperlukan untuk penyelamatan kita.