Sebagai seorang penternak timun laut (gamat), Nadia akan berjalan ke kandang ternakan yang terletak di bahagian lautan yang cetek berdekatan desanya di Madagascar, tempat yang dia menuai “tanaman” pada jam 2 pagi. Waktu awal pagi tidak memberi sebarang masalah kepadanya. “Kehidupan saya sangat sukar sebelum memulakan projek ini,” katanya. “Saya tidak mempunyai sumber pendapatan.” Kini, sebagai ahli program perlindungan laut yang dipanggil Velondriake, yang bermaksud “hidup dengan laut,” pendapatan Nadia semakin meningkat dan menjadi stabil. “Kami berterima kasih kepada Tuhan kerana adanya projek ini,” tambahnya.

Sebab utama penubuhan projek ini ialah ciptaan Tuhan telah menyediakan apa yang diperlukan oleh projek mereka—sumber hidupan laut yang diperoleh secara semula jadi. Ketika pemazmur memuji Tuhan kita, yakni Sang Pembekal, dia menulis, “Engkau menumbuhkan rumput untuk lembu, dan tanaman untuk kegunaan orang, supaya manusia dapat bercucuk tanam” (Mazmur 104:14). Malah, “lihatlah laut luas terbentang, dengan makhluk besar kecil, tidak terbilang” (ayat 25).

Sungguh mengagumkan apabila memikirkan ciptaan Tuhan yang ajaib. Misalnya, timun laut yang kelihatan biasa telah memainkan peranan dalam membentuk rantaian makanan di laut yang sihat. Usaha yang bersungguh-sungguh dalam penternakan timun laut juga telah memberi upah kepada Nadia dan jirannya sebagai sara hidup.

Tuhan tidak menciptakan makhluk-makhluk hidup dengan sembarangan. Dia memakai segalanya untuk kemuliaan-Nya dan kebaikan kita. Oleh itu, “aku akan menyanyi untuk TUHAN sepanjang umurku; aku akan menyanyikan pujian bagi Allahku seumur hidupku,” kata pemazmur (ayat 33). Kita juga boleh memuji Dia pada hari ini ketika kita merenungkan segala yang dikurniakan-Nya.