Saya diselubungi masalah dan terjaga pada suatu malam, maka saya berjalan mundar-mandir dalam bilik sambil berdoa. Secara jujur, saya tidak menyerahkan segala-galanya dalam doa, tetapi meluahkan banyak pertanyaan dan kemarahan kepada Tuhan. Oleh sebab saya masih tidak dapat tidur, saya pun duduk dan termenung langit pada malam itu melalui tingkap besar. Saya secara tidak sengaja tertarik kepada Tali Pinggang Orion—tiga bintang yang teratur selari dan sering dapat dilihat dengan mata kasar pada waktu malam. Dengan pengetahuan saya yang terhad dalam astronomi, saya hanya tahu bahawa jarak di antara tiga bintang itu harus mengambil beratus-ratus tahun cahaya!
Saya menyedari bahawa semakin saya mendekati bintang-bintang itu, kedudukan bintang itu kelihatan kurang sejajar. Namun bintang-bintang ini kelihatan teratur selari di langit apabila saya memandang langit dari jauh. Pada saat itu, saya sedar bahawa saya juga sering melihat hidup saya dengan jarak yang terlalu dekat sehingga tidak dapat melihat rancangan Tuhan. Sebenarnya dalam gambaran besar-Nya, semuanya berada dalam aturan yang sempurna.
Ketika rasul Paulus menyimpulkan tujuan muktamad Tuhan, kata-katanya menjadi lagu pujian (Roma 11:33-36). Pujian ini menujukan pandangan kita kepada Tuhan yang berdaulat, dan rancangan-Nya tidak dapat kita fahami (ayat 33). Namun, Tuhan yang memegang erat segala sesuatu di langit dan di bumi juga hadir dalam setiap butiran kehidupan kita dengan intim dan penuh kasih (Matius 6:25-34; Kolose 1:16).
Sekalipun perkara itu kelihatan mengelirukan, rancangan Tuhan dinyatakan demi manfaat kita serta kehormatan dan kemuliaan-Nya.