Tom mengejar sekumpulan orang muda yang mencuri basikal rakannya, Jeff. Dia tidak mempunyai apa-apa rancangan. Dia hanya tahu bahawa dia perlu mendapatkannya kembali. Apa yang mengejutkannya ialah ketiga-tiga pencuri itu tiba-tiba berhenti dan berpaling melihat dia, lalu meninggalkan basikal itu dan melarikan diri. Tom berasa lega dan kagum dengan dirinya, sambil membawa pulang basikal itu. Itulah saatnya dia terlihat Jeff, kawannya yang berbadan tegap, tetapi dia hanya berani untuk mengikuti Tom dari belakang sejak tadi.

Hamba Elisa menjadi panik apabila melihat kotanya dikepung oleh tentera musuh. Dia berlari kepada Elisa, “Malanglah kita, tuan! Apakah yang harus kita lakukan?” Elisa memberitahu dia untuk relaks. “Yang di pihak kita lebih banyak daripada yang di pihak mereka.” Kemudian Tuhan mencelikkan mata hamba itu, dan dia “nampak bukit itu penuh dengan kuda dan kereta kuda berapi di sekeliling Elisa” (ayat 15-17).

Sekiranya anda berusaha untuk mengikut Yesus, anda mungkin mendapati diri anda berada dalam beberapa situasi yang buruk. Reputasi anda mungkin terjejas, begitu juga keselamatan anda kerana anda bertekad untuk melakukan apa yang betul. Anda mungkin tidak menikmati tidur yang lena kerana tertanya-tanya akibat bagi sesuatu kejadian. Ingatlah, anda tidak keseorangan. Anda tidak perlu menjadi orang yang lebih kuat atau lebih bijak ketika berhadapan dengan cabaran. Yesus menyertai anda dan kuasa-Nya lebih besar daripada semua musuh anda. Tanyakan kepada diri anda dengan pertanyaan Paulus, “Jika Allah berpihak kepada kita, siapakah dapat melawan kita?” (Roma 8:31). Benar, siapakah dapat melawan kita? Tiada sesiapa pun. Berlarilah ke arah cabaran anda, bersama dengan Tuhan.