Mereka baru sahaja menurap semula jalan ini, fikir saya semasa trafik menjadi perlahan. Sekarang mereka mengoreknya lagi! Saya berasa hairan, kenapa pembinaan jalan ini tidak habis-habis? Saya tidak pernah melihat papan tanda yang menyatakan, “Pembinaan tamat. Sila gunakan jalan yang sempurna ini”.

Namun sesuatu yang serupa sedang berlaku dalam kehidupan rohani saya. Apabila saya mula percaya kepada Yesus, saya membayangkan bahawa saya akan mencapai satu tahap kematangan yang saya akan memahami segala perkara, dan hidup saya “diratakan dengan licin”. Sebagaimana lopak tetap ada di permukaan jalan raya yang saya lalui, saya mengakui hidup saya sendiri nampaknya tidak siap. Ada kalanya hal ini membuat saya berasa rimas.

Akan tetapi Ibrani 10 mengandungi janji yang luar biasa. Ayat 14 menyatakan, “Demikianlah dengan satu korban, untuk selama-lamanya, Dia menyempurnakan orang yang sudah disucikan daripada dosa”. Pekerjaan Yesus pada kayu salib sudah menyelamatkan kita. Selesai. Sempurna. Tetapi sebagai paradoks, proses itu tidak pernah siap selagi kita masih di bumi. Kita masih dibentuk untuk menyerupai-Nya, kita masih berada dalam proses disucikan.

Pada suatu hari kelak, kita akan bersemuka dengan Dia dan kita akan menjadi seperti Dia (1 Yohanes 3:2). Tetapi sebelum hari itu, kita masih “dalam pembinaan”, umat yang menunggu dan merindukan ketibaan hari yang penuh kemuliaan—hari pekerjaan-Nya dalam kita benar-benar menjadi lengkap.