“Aku percaya kepada Yesus dan Dia ialah Penyelamatku, dan aku tidak takut akan kematian”, kata Barbara Bush, isteri bekas Presiden Amerika Syarikat George H. W.Bush, kepada anak lelakinya sebelum dia meninggal dunia. Pengakuan yang luar biasa dan kenyataan yang penuh yakin ini mengesahkan satu iman yang mempunyai akar yang dalam. Dia mengalami sejahtera Tuhan kerana dia mengenal Yesus, walaupun berhadapan dengan kematian.
Simeon, penduduk Yerusalem pada kurun pertama, juga mengalami sejahtera yang luar biasa kerana Yesus. Dengan pimpinan Roh Kudus, Simeon telah pergi ke Rumah Tuhan ketika Maria dan Yusuf membawa Yesus yang masih bayi untuk disunat, menurut hukum Tuhan untuk anak yang baru lahir. Walaupun tiada banyak maklumat tentang Simeon, melalui penjelasan Lukas, kita mengetahui bahawa dia seorang hamba Tuhan yang istimewa, benar serta taat, setia menantikan kedatangan Mesias, dan “Roh Allah menyertai Simeon” (Lukas 2:25). Namun Simeon tidak mengalami shalom (sejahtera), perasaan kepuasan yang mendalam sehinggalah dia melihat Yesus.
Semasa dia mendukung Yesus, Simeon memuji Tuhan dan kepuasan yang sepenuhnya terlahir dalam Tuhan: “Sekarang, ya Tuhan, Engkau telah menepati janji-Mu. Biarlah hamba-Mu meninggal dengan tenteram. Dengan mataku sendiri aku sudah melihat Penyelamat yang datang daripada-Mu. Penyelamat yang telah Engkau sediakan di hadapan semua bangsa” (ayat 29-31). Dia mempunyai sejahtera kerana dia telah melihat harapan untuk masa depan seluruh dunia.
Ketika kita meraikan kehidupan, kematian dan kebangkitan Yesus, iaitu Penyelamat yang telah dijanjikan, marilah kita bersukacita atas hadiah sejahtera daripada Tuhan.
ILHAM
Menurut hukum Yahudi, selepas kelahiran seorang anak lelaki, wanita itu dianggap najis selama 40 hari (Imamat 12:1–5), dan setiap anak lelaki sulung daripada rahim akan ditahbiskan bagi TUHAN (Keluaran 13:2). Peraturan ini berasaskan bencana kesepuluh ketika anak lelaki sulung orang Mesir dibunuh dan anak lelaki sulung Israel dipelihara (ayat 12–15). Anak lelaki sulung orang Israel harus diselamatkan (Bilangan 18:15–16).Setelah Yesus dilahirkan, Yusuf membawa Maria dan Yesus ke Rumah Tuhan untuk upacara penyucian ibu dan penebusan anak lelaki sulung (Lukas 2:22–24). Di Rumah Tuhan, seorang lelaki tua bernama Simeon melihat Yesus yang berumur 40 hari. Lukas mengatakan bahawa "Roh Allah menyertai Simeon” (ayat 25), penerangan yang digunakan untuk para nabi Perjanjian Lama yang berbicara atas nama TUHAN (Bilangan 11:25, 1 Samuel 10:6, 10; 19:20, 23). Oleh sebab Hana, yang juga berada di Rumah Tuhan pada masa itu, adalah "seorang nabi" (Lukas 2:36), para sarjana menyangka bahawa Simeon juga adalah seorang nabi.