Tanpa talian telefon dan peta, kami meredah hutan hanya berdasarkan memori yang kita lihat dari papan peta semasa permulaan trek. Selepas lebih daripada satu jam, akhirnya kami keluar dari hutan dan sampai ke tempat letak kereta. Oleh sebab kami telah terlepas simpang yang betul, akibatnya kami terpaksa melalui jalan sepanjang 1 km yang lebih jauh.
Begitu juga dengan kehidupan: kita bukan cuma bertanya sama ada sesuatu pilihan iitu betul atau salah, tetapi apakah akibatnya? Mazmur 1 membandingkan dua jenis kehidupan—kehidupan orang benar (yang mengasihi Tuhan) dan kehidupan orang jahat (musuh orang yang mengasihi Tuhan). Orang benar bertumbuh seperti pokok yang berbuah, tetapi orang jahat seperti sekam yang ditiup angin (ayat 3-4). Mazmur ini memperlihatkan kehidupan yang berbuah lebat. Orang yang hidup menurut nasihat ini adalah orang yang bergantung pada Tuhan bagi kehidupan dan kekuatan baru.
Jadi bagaimanakah kita menjadi orang yang sedemikian? Mazmur 1 mendorong kita menjauhkan hubungan yang memusnahkan, tabiat yang tidak sihat serta bersukacita dalam mentaati perintah Tuhan (ayat 2). Yang terpenting, kita bertumbuh kerana Tuhan memperhatikan kita: “Orang yang taat dipimpin dan dilindungi TUHAN” (ayat 6).
Serahkan jalan hidup anda kepada Tuhan, mohon agar Dia memimpin anda keluar daripada tabiat lama yang sia-sia, dan izinkan firman Tuhan menjadi seperti sungai yang menyuburkan sistem akar dalam hati anda.
ILHAM
Mazmur 1 menetapkan tema utama untuk seluruh kitab kerana ia menerangkan faedah dan berkat yang dapat diperoleh daripada amalan seseorang yang berjalan bersama Tuhan—mereka akan berbuah dan makmur dalam segala usaha (ayat 3). Kemakmuran ini tidak boleh dilihat dari segi kebendaan atau keadaan hidup, tetapi melalui hubungan dengan Tuhan.Mazmur 1 memberitahu kita untuk "suka mentaati Taurat TUHAN dan merenungkannya siang malam" (ayat 2). Perkataan Ibrani yang digunakan bagi merenungkan bermaksud "berkumat-kamit." Takrifan ini boleh membawa maksud seseorang mengucapkan sesuatu kepada diri sendiri. Bentuk renungan ini adalah teliti dan sungguh-sungguh; ia boleh disamakan dengan pembelajaran. Memberi tumpuan dan pengkajian firman Tuhan yang teliti adalah satu cara praktikal bagi pembaca untuk mempelajari cara menerapkan firman Tuhan dalam kehidupan seharian mereka.