Topiknya ialah isu perkauman. Namun penceramah itu tenang. Dia berdiri di atas pentas di hadapan ramai hadirin dan bersuara dengan berani—tetapi dengan lemah-lembut, rendah hati, baik hati dan berjenaka. Para hadirin yang tegang mula berasa tenang dan ketawa apabila mendengar dilema yang dihadapi oleh mereka: cara untuk menyelesaikan isu-isu hangat dengan perasaan dan perkataan yang tenang. Ya, itulah cara untuk menangani topik yang pedas … dengan rahmat yang manis.

Raja Salomo telah memberikan nasihat ini kepada setiap kita: “Kata-kata yang lembut bagaikan madu—manis rasanya serta menyihatkan badan” (Amsal 16:24). Dengan cara ini, bagaikan “orang yang bijak berfikir dahulu sebelum bercakap; oleh itu kata-katanya meyakinkan” (ayat 23).

Mengapakah seorang raja yang berkuasa seperti Salomo meluangkan masa untuk mengajar kita tentang pertuturan? Ini kerana perkataan boleh membawa kebinasaan. Semasa zaman Salomo, para raja bergantung penuh kepada utusan untuk mendapatkan maklumat tentang negara mereka, maka utusan yang tenang dan boleh dipercayai amat diutamakan. Mereka bijak dalam menggunakan perkataan yang tepat dan wajar, bukannya bertindak dengan membabi buta atau bercakap kata-kata keras, walau apa pun isu yang terbabit.

Kita akan mendapat manfaat dengan menyampaikan buah fikiran kita secara salih serta berhati-hati. Seperti dikatakan Salomo, “Manusia membuat rancangan, tetapi Allah yang memberikan keputusan” (ayat 1).