Semasa Revolusi Amerika berakhir dengan penyerahan England yang tidak terjangka, ramai ahli politik dan pemimpin tentera memilih Jeneral George Washington sebagai raja yang baru. Dunia pada masa itu sedang memerhatikan sama ada Washington akan terus berpegang pada cita-citanya untuk menegakkan kebebasan dan kemerdekaan setelah memperoleh kuasa mutlak dalam genggamannya. Namun, Raja England, Raja George III mempunyai pandangan yang lain. Dia yakin bahawa jika Washington menolak godaan kuasa dan kembali ke ladangnya di Virginia, dia akan menjadi “orang yang paling berkuasa di dunia.” Raja tahu bahawa kehebatan terbukti pada saat seseorang menolak godaan kuasa, dan ini sememangnya kemuliaan dan kehebatan yang benar.
Paulus mengetahui kebenaran yang sama dan mendorong kita mengikuti teladan Kristus yang rendah hati. Walaupun Yesus sememangnya “ilahi, tetapi Dia tidak menganggap keadaan-Nya yang ilahi harus dipertahankan-Nya” (Filipi 2:6). Sebaliknya, Dia menyerahkan kuasa-Nya, menjadi seperti seorang “hamba” dan “Dia merendahkan diri dan hidup dengan taat kepada Allah sehingga mati—iaitu mati di atas salib” (ayat 7-8). Tuhan yang memegang segala kuasa telah menyerahkannya demi kasih.
Namun, melalui tindakan yang melampaui pemahaman kita, Tuhan telah meninggikan Kristus dari tempat penyaliban penjenayah, kepada “kedudukan yang lebih tinggi daripada semua kedudukan yang lain” (ayat 9). Yesus, yang sebenarnya boleh sahaja menuntut pujian kita, atau memaksa kita mentaati-Nya, telah menyerahkan kuasa-Nya dengan tindakan yang mengejutkan, yang akhirnya mendapat penyembahan dan penyerahan kita. Melalui kerendahan hati yang mutlak, Yesus menunjukkan kehebatan yang benar, sehingga menterbalikkan seluruh dunia.