Pengalaman saya yang paling memalukan berlaku pada hari saya memberi ucapan di hadapan para pengajar, pelajar dan kawan, sempena ulang tahun sebuah seminari yang ke-50. Saya mendekati mimbar dengan memegang manuskrip dalam tangan dan melihat jumlah orang yang ramai, tetapi mata saya ternampak para profesor yang terkenal duduk di kerusi depan, memakai jubah akademik mereka dan kelihatan sangat serius. Saya terus termenung. Mulut saya menjadi kering dan akal saya seolah-olah ‘terpisah’ daripada otak saya. Saya tergagap-gagap untuk meluahkan ayat pertama, kemudian saya mula berucap tanpa mengikut manuskrip. Oleh sebab saya menjadi “sesat” dalam ucapan itu, saya mula menyelak-nyelak lembaran kertas dengan gugup sementara bercakap hal-hal yang tidak masuk akal sehingga semua orang keliru. Entah bagaimana saya dapat menghabiskan ucapan itu, dengan segera balik ke tempat duduk dan pandang ke lantai. Saya berasa seakan-akan mahu mati.
Namun, saya belajar bahawa peristiwa yang memalukan boleh menjadi perkara yang baik jika hal ini membuat kita rendah hati, kerana inilah kunci yang menyenangkan hati Tuhan. Alkitab berkata, “Allah menentang orang sombong, tetapi Dia merahmati orang yang rendah hati” (Yakobus 4:6). Dia mencurahkan rahmat Tuhan kepada orang yang rendah hati. Tuhan sendiri berkata, “Aku suka kepada orang yang rendah hati dan bertaubat, yang takut dan taat kepada-Ku” (Yesaya 66:2). Apabila kita merendahkan diri di depan Tuhan, Dia akan meninggikan kita (Yakobus 4:10).
Perasaan hina dan malu boleh membawa kita kepada Tuhan supaya kita dapat dibentuk-Nya. Apabila kita jatuh, kita jatuh ke dalam pangkuan-Nya.
ILHAM
Penekanan Yakobus dalam melawan cubaan amat sesuai dalam pengajarannya yang lebih luas tentang tingkah laku orang yang percaya kepada Yesus. Bagi Yakobus, menjadi pelaku firman-Nya dan bukan hanya menjadi pendengar firman-Nya (Yakobus 1:22) adalah penting bagi orang Kristian, kerana ini bergema dengan kata-kata Kristus bahawa iman sejati adalah disahkan oleh kepatuhan kita terhadap firman-Nya (Lukas 6:49; 11:28).Dalam teks hari ini, Yakobus menolong orang percaya memahami cara hidup dengan integriti—melalui rendah hati. Dalam Yakobus 4:6, yang merujuk kepada Amsal 3:34, ayat ini sepadan dengan banyak teks kebijaksanaan Yahudi yang menekankan hubungan antara kerendahan hati dan kehidupan salih. Kerendahan hati membenarkan kita menyerahkan diri dengan rela kepada Tuhan dan rancangan-Nya (ayat 8). Penyerahan diri kepada Tuhan bermaksud kita “bersahabat dengan” Dia, bukan dengan dunia (ayat 4). Apabila kita bersahabat dengan Tuhan, kita secara semula jadi akan hidup menurut nilai-nilai Pemerintahan-Nya, dan bukan nilai-nilai dunia ini (3:15, 17). Apabila kita hidup bersatu dengan Tuhan (sila baca Mikha 6:8), Dia meninggikan kita (Yakobus 4:10), menghampiri kita (ayat 8), dan membuat Iblis tidak berkuasa lagi.