Saya berasa gugup kerana saya bersetuju untuk mengajar di kelas doa yang berlangsung selama 5 minggu di sebuah gereja tempatan. Adakah pelajar akan minat? Adakah mereka akan menyukai saya? Kegelisahan saya membuat saya tidak dapat berfikir dengan jelas sehingga mengganggu persiapan powerpoint dan nota serta rancangan pengajaran saya. Namun dengan masa tinggal seminggu, saya belum menggalakkan orang untuk menghadirinya.

Bagaimanapun, saya diingatkan dalam doa bahawa kelas itu adalah satu pelayanan yang memuliakan Tuhan. Oleh sebab Roh Kudus akan memakai kelas itu untuk mengarahkan orang ke Bapa Syurgawi kita, maka saya dapat mengetepikan kegelisahan saya apabila bercakap di depan khalayak ramai. Apabila Yesus mengajar pengikut-pengikut-Nya semasa berkhutbah di atas bukit, Dia berkata kepada mereka, “Kamu bagaikan cahaya bagi dunia. Kota yang terletak di atas bukit tidak dapat disembunyikan. Tidak seorang pun memasang pelita lalu menaruhnya di bawah pasu, tetapi dia akan meletakkannya di atas kaki pelita supaya memberikan cahaya kepada setiap orang di dalam rumah” (Matius 5:14–15).

Selepas membaca ayat Alkitab itu, saya akhirnya menyiarkan satu pengumuman mengenai kelas yang akan diadakan di media sosial. Dengan serta-merta, orang mula mendaftar dan menyatakan kesyukuran dan rasa gembira. Ketika melihat reaksi mereka, saya merenungkan pengajaran Yesus dengan lebih mendalam, “hendaklah cahaya kamu juga bersinar di hadapan orang, supaya mereka melihat perbuatan kamu yang baik, lalu memuji Bapa kamu yang di syurga” (ayat 16).

Dengan perspektif itu, saya mengajar kelas itu dengan penuh sukacita. Saya berdoa agar perbuatan saya yang biasa ini akan menjadi cahaya yang menerangi dan menggalakkan orang lain menyinari cahaya mereka demi Tuhan.