Artikel akhbar yang bertarikh Mei 1970 melaporkan kedudukan pelumba kereta, Steve Krisiloff yang “tergugat.” Dia mencatatkan masa pusingan kelayakan yang paling lambat dalam acara perlumbaan kereta Indianapolis 500. Walaupun demikian, dia masih layak mengambil bahagian dalam perlumbaan.
Ada kalanya kita berasa “tergugat” kerana tidak pasti sama ada kita berkebolehan untuk bertanding atau mengakhiri perlumbaan hidup. Yang penting, kita menyedari bahawa dalam Yesus kita tidak perlu berasa “tergugat”. Sebagai anak Tuhan, tempat kita dalam Pemerintahan-Nya adalah pasti (Yohanes 14:3). Keyakinan datang daripada Dia yang memilih Yesus sebagai “batu asas” yang membina kehidupan kita. Dia memilih kita untuk menjadi “batu yang hidup” yang dipenuhi Roh Tuhan dan mampu menjadi umat ciptaan-Nya (1 Petrus 2:5-6).
Dalam Kristus, kita memiliki jaminan masa depan apabila kita menaruh harapan dan mentaati-Nya (ayat 6). Kita adalah “bangsa yang terpilih, imam-imam yang mengabdikan diri kepada Raja, bangsa yang suci, umat Allah sendiri. Allah memilih [kita] untuk mengisytiharkan perbuatan-Nya yang luar biasa. Allah sudah memanggil [kita] keluar daripada kegelapan supaya masuk ke dalam cahaya-Nya yang gemilang” (ayat 9).
Di mata Yesus, kita tidak perlu berasa “tergugat”. Kita berharga dan dikasihi (ayat 4).
ILHAM
Petrus menulis surat ini kepada pembaca-pembaca yang mengalami kesusahan akibat penganiayaan dan amat memerlukan dorongan. Penyelesaiannya? Untuk mengingatkan mereka tentang identiti mereka sebagai orang percaya dalam Yesus.Dengan memetik 2 petikan dalam Perjanjian Lama, Petrus menggunakan beberapa frasa untuk menggambarkan identiti baru bagi mereka yang dahulu “bukan umat Allah” (1 Petrus 2:10). Melalui Keluaran 19:6, sebuah petikan yang mendahului petikan mengenai menerima Sepuluh Hukum Allah, Petrus memberitahu pembaca-pembacanya bahawa mereka “imam-imam yang mengabdikan diri kepada Raja” dan “bangsa yang suci” (1 Petrus 2:9). Melalui Yesaya 43:20-21, dia memberitahu mereka bahawa mereka merupakan “umat Allah sendiri. Allah memilih [mereka] untuk mengisytiharkan perbuatan-Nya yang luar biasa” (1 Petrus 2:9). Petrus mengingatkan pembacanya, dan kita, seperti orang Israel yang mendahului mereka, mereka adalah milik Tuhan yang istimewa melalui penyelamatan-Nya.