Lebih daripada sejuta pemuda mengambil bahagian dalam Pertandingan Penulisan Surat Antarabangsa setiap tahun. Tema pertandingan pada tahun 2018 ialah: “Bayangkan anda ialah sepucuk surat yang mengembara melalui masa. Apakah mesej yang anda ingin sampaikan kepada para pembaca?”

Dalam Alkitab, kita boleh memiliki koleksi surat yang melangkaui masa kerana ilham dan pimpinan Roh Kudus. Apabila jemaah Kristian bertumbuh, para pengikut Yesus menulis kepada gereja-gereja tempatan di Eropah dan Asia Kecil untuk menolong mereka memahami kehidupan baru dalam Kristus. Kebanyakan surat itu dikumpulkan dalam Alkitab yang kita baca pada hari ini.

Apakah yang disampaikan oleh para penulis surat ini kepada pembaca? Yohanes menjelaskan dalam suratnya yang pertama bahawa dia sedang menulis tentang “Firman yang telah ada sejak permulaan. Kami sudah mendengarnya, dan kami sudah melihatnya dengan mata kepala sendiri. Kami sudah melihatnya dan kami sudah menyentuhnya dengan tangan.” Dia sedang menulis tentang pengalamannya dengan Kristus yang hidup (1 Yohanes 1:1). Dia menulis supaya pembacanya dapat “turut menghayati hidup bersatu dengan Bapa dan dengan Anak-Nya Yesus Kristus” (ayat 3). Dia menulis bahawa apabila kita ada persekutuan antara satu sama lain, kita akan menjadi “benar-benar gembira” (ayat 4). Surat-surat dalam Alkitab membawa kita ke dalam persekutuan yang melangkaui masa, iaitu persekutuan dengan Tuhan yang kekal.