“Kita pergi jalan-jalan sekarang!” kata isteri saya dengan gembira kepada cucu kami, Austin yang berumur 3 tahun sewaktu kami bertolak dari rumah untuk memulakan perjalanan. Austin memandangnya sambil berfikir panjang dan berkata, “Aku tidak pergi jalan-jalan. Aku ada misi!”
Kami tidak tahu bagaimana cucu kami mendapat konsep “ada misi.” Tetapi kenyataannya itu membuat saya berfikir semasa memandu ke lapangan terbang: Sewaktu aku pergi bercuti untuk beberapa hari, adakah aku masih “melakukan misi” untuk Tuhan? Adakah aku ingat untuk melayani Dia dalam segala yang aku lakukan?
Rasul Paulus mendorong orang percaya di Roma supaya “jangan malas, tetapi bekerjalah dengan rajin. Abdikanlah diri kepada Tuhan dengan semangat daripada Roh Allah” (Roma 12:11). Perkara penting yang ingin disampaikannya ialah kehidupan kita dalam Yesus seharusnya ada tujuan dan penuh semangat. Detik-detik hidup kita yang paling membosankan mempunyai maksud yang baru apabila kita berharap kepada Tuhan dan hidup untuk tujuan-Nya.
Sewaktu kami menaiki kapal terbang, saya berdoa, “Tuhan, aku milik-Mu. Apa pun yang Engkau mahu aku lakukan dalam perjalanan ini, tolonglah aku melakukannya.”
Apabila kita bersama dengan Tuhan, setiap hari merupakan misi yang ada maksud kekal!
ILHAM
Roma 12:9-21 dirujuk sebagai bahagian nasihat, yang bererti “untuk menasihati” atau untuk menggesa sesuatu tindakan. Petikan ini mengandungi dorongan untuk bertindak dengan cara-cara yang spesifik dan pelbagai perintah yang kelihatan rawak tentang sikap dalaman dan perbuatan luaran. Sikap dalaman kadangkala merangkumi perbuatan luaran; tetapi, perbuatan luaran mesti merangkumi ungkapan luaran.Sikap dalaman termasuk membenci kejahatan, bersukacita dalam harapan dan bersabar dalam kesusahan, dan tidak menjadi sombong. Perbuatan luaran diungkapkan melalui mengasihi dengan ikhlas, menghormati orang lain, bersemangat secara rohani (dalam pelayanan), dan tekun berdoa, berkongsi, dan memberi tumpangan. Kita didorong untuk memberkati orang yang menganiayai kita, hidup dalam kesejahteraan dan tidak membalas dendam terhadap musuh.