“Kita pergi jalan-jalan sekarang!” kata isteri saya dengan gembira kepada cucu kami, Austin yang berumur 3 tahun sewaktu kami bertolak dari rumah untuk memulakan perjalanan. Austin memandangnya sambil berfikir panjang dan berkata, “Aku tidak pergi jalan-jalan. Aku ada misi!”

Kami tidak tahu bagaimana cucu kami mendapat konsep “ada misi.” Tetapi kenyataannya itu membuat saya berfikir semasa memandu ke lapangan terbang: Sewaktu aku pergi bercuti untuk beberapa hari, adakah aku masih “melakukan misi” untuk Tuhan? Adakah aku ingat untuk melayani Dia dalam segala yang aku lakukan?

Rasul Paulus mendorong orang percaya di Roma supaya “jangan malas, tetapi bekerjalah dengan rajin. Abdikanlah diri kepada Tuhan dengan semangat daripada Roh Allah” (Roma 12:11). Perkara penting yang ingin disampaikannya ialah kehidupan kita dalam Yesus seharusnya ada tujuan dan penuh semangat. Detik-detik hidup kita yang paling membosankan mempunyai maksud yang baru apabila kita berharap kepada Tuhan dan hidup untuk tujuan-Nya.

Sewaktu kami menaiki kapal terbang, saya berdoa, “Tuhan, aku milik-Mu. Apa pun yang Engkau mahu aku lakukan dalam perjalanan ini, tolonglah aku melakukannya.”

Apabila kita bersama dengan Tuhan, setiap hari merupakan misi yang ada maksud kekal!