Cucu saya berlari ke barisan roller-coaster dan berdiri membelakangi penanda ketinggian untuk memastikan sama ada dia cukup besar untuk menaiki gerabak itu. Dia bersorak kegembiraan apabila kepalanya melepasi penanda.
Banyak perkara dalam hidup ini tentang menjadi cukup “besar”. Contohnya, mengambil ujian memandu, mengundi, berkahwin dan sebagainya. Seperti cucu saya, kita boleh menikmati hidup dengan merindui saat-saat kita membesar.
Pada zaman Perjanjian Baru, anak-anak dikasihi tetapi mereka tidak dihargai dalam masyarakat sehinggalah mereka mencapai umur dewasa, dapat menyumbangkan sesuatu kepada keluarga, dan memasuki rumah ibadat orang dewasa. Yesus menghapus standard itu dengan menyambut orang yang miskin dan berpenyakit, serta kanak-kanak. Injil Matius, Markus dan Lukas mencatatkan bahawa ibu bapa membawa anak-anak kecil kepada Yesus supaya Dia boleh “meletakkan tangan-Nya pada kepala kanak-kanak itu dan mendoakan mereka” (Matius 19:13; Markus 10:16).
Para pengikut Yesus menegur perbuatan ibu bapa tersebut kerana menganggap anak-anak kecil sebagai gangguan. Ini membuat Yesus “marah” (Markus 10:14) dan Dia membuka tangan-Nya kepada anak-anak kecil. Dia menekankan bahawa mereka adalah sangat berharga dalam Pemerintahan-Nya. Dia mencabar semua orang supaya menjadi seperti seorang anak—mengakui kelemahan mereka dan keperluan terhadap Dia, agar mereka dapat mengenal Dia (Lukas 18:17). Keperluan terhadap Tuhan seperti seorang anak menjadikan kita cukup “besar” untuk menerima kasih-Nya.